Foto Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM).

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) pantas untuk memberikan respon mereka di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengenai isu rundingan kontrak pemain

Presiden PFAM yang juga bekas pemain kebangsaan, Mohd Safee Mohd Sali melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih mereka kepada TMJ kerana sentiasa menyokong usaha memartabatkan kerjaya pemain bolasepak profesional.

Dalam kenyataannya, TMJ telah memberi peringatan kepada semua pasukan agar tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk memotong gaji tanpa menyelesaikan gaji tertunggak pemain yang masih belum dijelaskan.

“Kenyataan dan sokongan yang diberikan oleh Tunku membuktikan keprihatinan Baginda yang selama ini sentiasa menyokong usaha memartabatkan kerjaya pemain bolasepak profesional.

“Ini juga merupakan isyarat jelas bahawa hak dan kebajikan pemain perlu dihormati terlebih dahulu sebelum apa-apa proses rundingan dilakukan,” ujar PFAM dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi persatuan itu.

PFAM juga mengucapkan tahniah kepada pasukan JDT yang telah membuktikan pasukan itu sentiasa komited dalam menjaga hak pemain menerusi pematuhan kontrak serta pengurusan yang profesional.

“Sehubungan itu, kami ingin menggesa agar pasukan-pasukan yang mempunyai tunggakan, agar segera melunaskan tunggakan masing-masing, dan seterusnya menerima dua syarat yang diletakkan bagi memastikan proses rundingan bersama para pemain dapat dilaksanakan secara telus dan saksama,” katanya.

Sebelum ini, TMJ telah memberi peringatan kepada semua pasukan agar tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk memotong gaji tanpa menyelesaikan gaji tertunggak pemain yang masih belum dijelaskan.

Sementara itu, dua syarat yang diberikan oleh PFAM adalah pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum pandemik COVID-19 bermula wajib menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu di samping rundingan dan persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain, dan bukan dilakukan secara ‘pukul rata.’ – MalaysiaGazette