Polis menahan 11 warga tempatan termasuk seorang remaja berusia 15 tahun kerana terlibat dalam pesta liar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah homestay di kawasan Masai.

JOHOR BAHRU – Polis menahan 11 warga tempatan, termasuk seorang remaja berusia 15 tahun kerana terlibat dalam pesta liar semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) di sebuah inap desa di Masai semalam.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 8 lelaki dan 3 wanita berusia 15 hingga 23 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 12.45 tengah malam Selasa.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sejumlah dadah jenis ketamin seberat 2.08g dan 4 biji pil ecstasy.

Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati 2 lelaki dan seorang wanita mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Hasil siasatan awal turut mendapati semua suspek bukanlah penghuni di premis berkenaan, selain gagal memberi alasan munasabah untuk berkumpul,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati 7 lelaki dan 3 wanita positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

Ayob Khan berkata, mereka ditahan reman 3 hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Ini jenis manusia tak guna. Tak patuh undang2 dan tak dengar kata. Tak guna simpan rakyat mcm ni. Ikat tangan dan kaki campak ke laut. Bagi Ikan makan.

Comments are closed.