Pengurus The Street Kitchen, Muhammad Danial Abu Bakar bercakap kepada Malaysia Gazette selepas mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di Bandar Hilir, Melaka. foto AFIQ RAZALI, 10 APRIL 2020

MELAKA – Sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua bermula, golongan gelandangan di Bandar Hilir di sini sentiasa menunggu kehadiran lelaki ini yang datang memberi makanan secara percuma.

Bukan sekali, malahan pek makanan disediakan tengahari dan malam setiap hari. Menu makanan pula silih berganti seperti nasi goreng kampung dan mee goreng dengan anggaran untuk 150 gelandangan.

Bagi Muhammad Danial Abu Bakar, tiada kepuasan yang dapat diungkap olehnya apabila melihat golongan itu tersenyum apabila menerima bungkusan makanan.

Dia yang berusia 29 tahun berkata, aktiviti amal yang dilakukan bertujuan berkongsi rezeki yang diperolehinya hasil membuka restoran, The Secret Kitchen selama ini.

“Saya hanya mahu membantu golongan ini supaya mereka menemui sinar baru dalam kehidupan masing-masing.

“Saya memulakan program ini selepas simpati melihat keadaan gelandangan ini merempat di kaki lima di kawasan ini dan berlapar kerana tidak mempunyai tempat tinggal,” katanya ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Pengurus The Street Kitchen, Muhammad Danial Abu Bakar bercakap kepada Malaysia Gazette selepas mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di Bandar Hilir, Melaka. foto AFIQ RAZALI, 10 APRIL 2020

Meskipun tidak mengaut apa-apa keuntungan, Muhammad Danial tidak menganggap ia sebagai satu beban kerana mereka berasa gembira melihat golongan yang tidak berkemampuan ini menjadi insan lebih baik.

Tambahnya, usaha mendekati golongan itu selama ini kerana sedih dengan nasib yang menimpa mereka hingga terpaksa merayau di jalanan.

“Sumbangan sebanyak RM500 hasil kutipan saya dan rakan-rakan juga melibatkan bantuan barang keperluan asas selain pek makanan kepada golongan gelandangan ini,” katanya.

Mengulas nasib perniagaannya sejak PKP bermula, dia mengakui jualan di restoran merosot ketika ini dan hanya membuat perkhidmatan tempahan menu ke rumah bermula 1 April lalu.

“Berapa jualan yang saya perolehi, saya utamakan untuk membayar gaji pekerja terlebih dahulu,” katanya berterus-terang.

Sementara itu, mereka yang ingin menempah menu di The Secret Kitchen, bolehlah menghubungi talian +60126300485. – MalaysiaGazette