BEIJING – China melaporkan penurunan kes positif Covid-19 meskipun peningkatan jumlah jangkitan tempatan berlaku di sempadan Rusia.
Semalam, China merekodkan 46 kes baru berbaning 89 kes sehari sebelumnya, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.
Daripada jumlah baru itu, 36 kes membabitkan pengembara yang tiba dari luar negara berbanding 86 sehari sebelumnya.
Manakala 10 lagi kes membabitkan jangkitan tempatan dengan wilayah Heilongjiang merekodkan lapan kes manakala Guangdong pula dua kes.
Wilayah timur laut Heilongjiang telah menjadi barisan depan dalam perjuangan China untuk mencegah kes-kes yang diimport ketika kes-kes jangkitan berpunca dari Rusia.
China telah menutup sempadan Rusia di Suifenhe, sebuah kota di Heilongjiang yang mempunyai pusat pemeriksaan ke Rusia.
Jangkitan baru yang melibatkan pelancong yang tiba dari Rusia juga melanda di wilayah lain di China seperti wilayah Inner Mongolia dan pusat kewangan Shanghai.
Terdapat juga jangkitan kes baru yang disahkan tidak bergejala.
Dua daripada kes di Heilongjiang yang baru disahkan semalam adalah pesakit yang tidak menunjukkan gejala virus sebelum ini.
Heilongjiang melaporkan satu kes tanpa gejala semalam membabitkan seorang warga China yang pulang dari Rusia. Ini menjadikan jumlah kes berkenaan di wilayah ini melibatkan pelancong yang tiba dari luar negara kepada 52 orang.
Di China, jumlah kes tanpa gejala naik kepada 57 pada hari Selasa berbanding 54 kes sehari sebelumnya. – MalaysiaGazette