Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini beralih kepada 8,616 pelajar madrasah tahfiz di seluruh negara untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kumpulan berkenaan adalah tumpuan terbaharu selepas jemaah tabligh Masjid Jamek Sri Petaling.

Jelasnya, langkah tersebut selepas kes positif Covid-19 di setiap negeri mula menunjukkan penurunan.

“Atas sebab itu kini KKM menumpukan perhatian kepada tiga negeri yang masih menunjukkan kes aktif Covid-19 dan 28 kluster kecil serta bertumpu negeri kes aktif tinggi iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Selepas tabligh, kini sasaran kita ialah pelajar madrasah tahfiz dan kita mendapat maklumat bahawa terdapat seramai 8,616 pelajar Tahfiz,” katanya dalam sidang media harian penularan wabak Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, setakat ini seramai 1,736 pelajar tahfiz telah menjalani ujian saringan dan 217 orang disahkan positif.

“Bagaimanapun, kebanyakan pelajar sudah pulang ke kampung masing-masing sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu,” katanya sambil menambah pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan agensi terbabit untuk mengesan pelajar tersebut.

Ditanya sama ada kaedah mengesan dan menjejaki pesakit jemaah tabligh akan digunakan dalam mengesan kluster gereja di Sarawak, Noor Hisham berkata, langkah tersebut tudak perlu kerana memandangkan mereka mempunyai rekod kehadiran ke pehimpunan itu.

“Kluster gereja di Sarawak memang terkawal, dan kita meneruskan pengesanan kontak dan kluster kes tersebut, dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan tidak diperlukan disana,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kadar jangkitan Covid-19 di negara ini berjaya dikawal kerana setiap pesakit yang disahkan positif ditahan, diisolasi, dikawal rapi dan dirawat hospital sehingga pulih.

“Berbanding negara-negara maju yang lain seperti United Kingdom dan Itali, di mana mereka yang menunjukkan simptom yang teruk sahaja diterima di hospital dan sekadar menunjukkan gejala ringan mereka diminta isolasi diri di rumah masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette