Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersiap sedia membuat kerja disinfeksi pada Ops Sanitasi Awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2020

BATU CAVES – Lebih 60 peratus proses sanitasi dan nyah cemar virus Covid-19 telah berjaya dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di daerah Gombak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa Pertama dan Kedua sejak 18 Mac hingga 14 April lalu.

Ketua Balai Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani berkata, proses nyah kuman itu dilakukan pihaknya setiap hari dan setakat ini ia telah merangkumi 15 kawasan dalam daerah Gombak.

“Dalam tempoh PKP Fasa 2, kita telah membuat semburan sanitasi nyahkuman di 15 kawasan di daerah Gombak dan kita lakukan setiap hari sebelah pagi sekali, sebelah petang sekali.

“Ia telah meliputi kawasan daerah Gombak lebih 60 peratus kita buat semburan sanitasi nyah cemar jangkitan setakat minggu kedua PKP Fasa 2 pada minggu lepas.

“Hari ini merupakan Fasa 3 jadi kita akan meneruskan sehingga benar-benar kuman Covid-19 dapat dihapuskan dan memutuskan rantaian Covid-19 sebelum ini dan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Ketua Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani. – foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2020

Terdahulu beliau mengetuai sepasukan JBPM Daerah Gombak bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak dalam operasi sanitasi nyah cemar di bangunan pentadbiran dan kuaters milik IPD Gombak.

Proses nyah kuman hari ini merangkumi hampir 20 ekar kawasan IPD Gombak termasuk hampir 1,000 unit kediaman pasukan keselamatan polis di situ.

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan proses santasi nyah kumar berjalan lancar dan berkesan, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai berkaitan mengikut kawasan.

“Kekuatan anggota setiap kali dilakukan sanitasi nyah cemar di kawasan daerah Gombak ini dalam anggaran 30 pegawai bomba dan 10 hingaa 15 orang kekuatan daripada pegawai MPS termasuklah penglibatan daripada PDRM, Rela dan Ahli Majlis.

“Untuk setiap kawasan, ahli Majlis akan turun dan bekerjasama memberikan bantuan daripada segi makan minum kepada anggota yang bertugas pada setiap hari dan kerjasama yang sangat baik yang telah diberikan oleh Yang di-Pertua (YDP) MPS sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa gombak saja?
    Kawasan lain bila nak mula?
    Kerajaan dah umum Dana utk buat kerja ni..
    Kpkt n PBT jgn la pilih kawasan tertentu saja..
    Jika alasan x cukup manpower, ramai yg nak bekerja..

Comments are closed.