Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Polis menahan lima lelaki dan enam wanita dipercayai terlibat dalam parti liar dan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam serbuan di dua pangsapuri berasingan, awal hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang berumur antara 17 dan 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.15 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Daripada kesemua 11 orang itu, tujuh daripadanya melibatkan tiga lelaki dan empat wanita didapati memiliki dadah. Polis turut merampas dadah disyaki jenis ketamin seberat 20.40 gram daripada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ayob Khan berkata, hasil saringan ujian air kencing terhadap 11 suspek itu mendapati 10 daripadanya positif terhadap dadah jenis ketamin dan methamphetamine manakala semakan rekod turut mendapati dua lelaki serta tiga wanita mempunyai rekod berkaitan dadah.

Beliau berkata, kesemua mereka bukan penghuni rumah tersebut dan gagal mengemukakan alasan munasabah untuk berkumpul, dan kini direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 11 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Tujuh suspek yang didapati memiliki dadah akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 10 yang positif dadah pula mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil daripada serbuan dan tangkapan tersebut menunjukkan ada lagi sebilangan masyarakat yang masih degil, mementingkan diri sendiri serta sengaja melanggar PKP yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Sehubungan itu, polis Johor sekali lagi menegaskan kepada orang ramai agar mematuhi arahan PKP dengan berada di rumah dan dilarang menganjurkan sebarang pesta atau keramaian. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi PKP,” katanya. – Bernama