Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak 250 pelajar tahfiz daripada 2,697 yang disaring disahkan positif Covid-19.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan kes sebanyak 33 berbanding semalam sebanyak 217 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan tempoh sehingga dua minggu untuk membuat saringan terhadap 9,842 pelajar berkenaan di seluruh negara.

“Kita dapati kes membabitkan pelajar tahfiz semakin meningkat.

“Mereka yang berada di madrasah kita telah saring, namun kita dapati ada yang telah pulang. Ini yang perlu disaring,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Semalam, Noor Hisham memberitahu, pihaknya akan memberi tumpuan melakukan saringan terhadap pelajar tahfiz di seluruh negara.

KKM juga katanya, akan bekerjasama dengan polis dan agensi berkaitan bagi mengesan pelajar terbabit.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, terdapat kluster yang sudah selesai (tidak mempunyai kes baharu) daripada 28 kluster yang dikenal pasti.

“Kluster itu kita kira kata dah khatam (selesai). Kementerian melakukan pemantauan selama 14 hari terhadap kluster yang aktif dan tidak aktif,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, tiga negeri di utara semenanjung boleh menjadi zon hijau Covid-19 jika tiada sebarang kes baru dicatatkan.

Ujarnya, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mestilah bebas daripada sebarang kes positif wabak itu untuk tempoh 14 hari.

“Walaupun memang Kedah, Perlis dan Pulau Pinang tidak ada sebarang kes baru sejak beberapa hari lalu, tetapi apa yang paling penting ialah, kita perlu menunggu untuk tempoh pengeraman (incubation) selama 14 hari sebelum kita boleh katakan kawasan itu bebas (daripada Covid-19).

“Justeru sekarang kita dalam proses untuk melihat hal itu, dan jika dalam tempoh 14 hari tiada kes dilaporkan di tiga negeri tersebut, mungkin kita boleh pertimbangkan ia sebagai negeri hijau,” ujarnya. – MalaysiaGazette