Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
KUALA LUMPUR –  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan dua kadar zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM5.00 dan RM7.00.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, umat Islam di Wilayah Persekutuan boleh memilih untuk membayar antara dua kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing.
Menurutnya, penetapan dua kadar zakat fitrah itu bertujuan meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan bagi menunaikan kewajipan tersebut.
“Melihat kepada situasi semasa ekoran penularan COVID-19, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan telah menetapkan dua kadar zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM5.00 dan RM7.00
“Penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan harga beras bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Zulkifli, penetapan kadar zakat itu juga selari dengan Resolusi Muzakarah Khas Kali Ke-2 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 9 April 2020 melalui siaran langsung telekonferens.

Ujar beliau muzakarah itu telah mengambil ketetapan bahawa kaedah pembayaran zakat fitrah boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian di negeri masing-masing dengan mengambil kira peraturan Perintah Kawalan Pergerakan semasa.

Selain itu, tambahnya, muzakarah tersebut juga menetapkan kadar zakat fitrah mengikut ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri dan jumlah bayaran yang perlu dibuat adalah bergantung kepada kemampuan pembayar dan ketua keluarga. – MalaysiaGazette