KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerahkan 142 kotak makanan dan barangan penjagaan peribadi kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, semalam.

Dalam satu kenyataan kementerian berkenaan berkata, sumbangan yang diselaraskan Yayasan Food Bank Malaysia itu adalah bagi membantu seramai 3,000 pelajar UIAM yang berada di kampus tersebut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KPDNHEP Selangor bergerak aktif dalam membantu meringankan beban pelajar yang berada di universiti masing-masing.

“Kali ini penghantaran sebanyak 142 kotak mengandungi pelbagai jenis makanan dan barangan penjagaan peribadi dihantar ke UIAM Gombak di mana seramai 3,000 pelajar berada di sana,” katanya.

KPDNHEP berharap sumbangan itu akan dapat meringankan beban pelajar dan terus tabah mengharungi PKP ini. – MalaysiaGazette