Sepasang suami isteri, masing-masing berusia 32 dan 38 tahun direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dera sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

IPOH – Seorang pekebun yang disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan ketika berada dalam sebuah bot di tepi Sungai Perak, Pam Pasir Kubang Chandong, Bota, kira-kira 46 kilometer, dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso, berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan pasukan polis yang melakukan tugas Op COVID-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan pada kira-kira jamĀ 9 pagi.

“Polis telah merampas bot yang dinaiki suspek bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM8,500, alat penimbang digital dan plastik disyaki untuk membungkus dadah yang ditemui dalam bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang masih bujang itu tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu dan menjadikan bot itu sebagai tempat membungkus dadah.

Barudin berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS150 untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan ujian air kencing ke atas lelaki itu mendapati positif dadah dan dia juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi, pecah rumah dan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. – Bernama