SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kontinjen Selangor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM743,400 membabitkan lima serbuan di dua lokasi di Lembah Klang, Rabu lalu.
Ketua JSJN Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Sundramlingam Rajassundram berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya menemui dadah disyaki syabu seberat 14.33 kilogram (kg) dan 537 biji pil ekstasi seberat 366.09 gram.
Beliau berkata, kejayaan itu susulan serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Serdang dan JSJN Polis Kontinjen Selangor, masing-masing di Bandar Kinrara, Puchong serta di sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
“Serbuan pertama melibatkan tangkapan dua lelaki di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Kinrara Puchong dengan rampasan 120.9 gram dadah jenis syabu bernilai RM6,045.737
“Bagi serbuan kedua pula, dua tangkapan dibuat dengan rampasan 537 biji pil ekstasi seberat 366.09 gram dan syabu seberat 151.97 gram di mana rampasan dadah kedua-dua serbuan itu bernilai RM34,350,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut Sundramlingam lagi, JSJN IPK Selangor juga telah menangkap seorang lelaki dalam sebuah kereta di sekitar Wangsa Maju dan hasil pemeriksaan mendapati satu beg plastik putih dan tiga peket plastik lut sinar diletakkan di tempat letak kaki pemandu.
“Pada 15 April 2020, jam 8.30 malam sepasukan polis dari JSJN IPK Selangor telah menahan sebuah kereta di kawasan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bungkusan itu mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 410 gram bernilai RM20,500,” katanya.
Susulan penahanan seorang lelaki terbabit, pihaknya turut membuat serbuan ke sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan Wangsa Melawati Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan polis telah merampas dalam almari pakaian dalam bilik utama 13 bungkusan teh Cina berisi disyaki dadah syabu seberat 13.65kg bernilai RM682,500,” jelasnya.
Turut ditahan dalam rumah terbabit adalah seorang perempuan dan remaja lelaki masing-masing berusia 24 dan 14 tahun.
Kesemua yang ditahan dalam aktiviti pengedaran dadah termasuk seorang tokan berusia antara 14 hingga 44 tahun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Selain dadah, IPK Selangor juga membuat sitaan pelbagai jenis barangan termasuk dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Honda Accord dengan anggaran nilai semasa berjumlah RM205,000 serta wang tunai berjumlah RM861.
Katanya lagi, kesemua tangkapan telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di antara 16 April hingga 22 April 2020 (Rabu). – MalaysiaGazette