Ahmad Muzakkir Hamid

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak akan sesekali melepaskan tanggungjawab terhadap kebajikan para pemain termasuk soal gaji meskipun usaha mendapatkan penajaan terjejas ekoran penularan Covid-19.

KAFA yang bergantung 80% pendapatan daripada kutipan jualan tiket mengakui pendapatannya terjejas teruk dan kini mengharapkan hasil tajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, badan induk itu sedar yang gaji adalah pendapatan utama buat pemain kerana mereka bukan ahli perniagaan.

“Kita sedar gaji daripada bola sepak adalah mata pencarian para pemain.

“Oleh itu, pihak pengurusan akan bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

Ahmad Muzakkir berkata, KAFA memang ada perancangan untuk mendapatkan beberapa lagi penaja pada Jun ini.

Malah, sekurang-kurangnya ada empat penaja sudah pun menyatakan kesediaan mereka itu.

”Tetapi pandemik Covid-19 telah menjejaskan perancangan asal kami.

“Meskipun begitu kami masih berusaha keras,” tambahnya. – MalaysiaGazette