LAZIMNYA ketika hampir tiba musim Ramadan, kita sudah bersiap siaga untuk meraikan satu bulan penuh berharga, penuh kemuliaan dan penuh keberkatan. Kita menyambutnya dengan penuh syahdu.
Seminggu dua sebelum bulan puasa biasanya surau kami sudah menganjurkan kuliah-kuliah khas bagi mengulang sorot kembali fiqah puasa, perihal fadilat Ramadan, hikmah yang terkandung di dalamnya, kelebihan solat tarawih dan witir berjemaah serta sisi-sisi lain berkaitan pencerahan puasa.
Pendeknya, menyiapkan minda, emosi, psikologi dan perisai rohani bagi menghadapi satu musim safari kerohanian.
Berjarak seminggu atau dua sebelum Ramadan, biasanya sudah terpampang gegantung “Selamat Datang Ramadan”, “Marhaban Ya Ramadan” atau “Selamat Menunaikan Ibadah Puasa Kepada Seluruh Muslimin dan Muslimat.”
Semuanya ini menandakan kegirangan umat Islam untuk meraikan satu bulan agung penuh kelebihan.
Surau kami biasanya sudah menyusun majlis berbuka puasa untuk ahli-ahli kariah, kebanyakannya dihadiri pelajar-pelajar universiti yang menyewa rumah di taman perumahan surau kami.
Banyak sekali dermawan yang sudah siap untuk menghulurkan derma seperti wang, kurma, makanan dan sebagainya untuk mengimarahkan ibadah puasa Ramadan.
Sudah tidak kedengaran lagi polemik tarawih lapan rakaat atau 20 rakaat kerana jemaah sudah dididik – baik lapan atau 20 rakaat, yang maha penting menjaga tertib solat dan menghidupkan malam dengan ibadah.
Lazimnya, seminggu sebelum berpuasa, jemaah sudah bersiap-sedia untuk membersihkan surau, bergotong royong termasuk menukar lampu, membuang sawang, membersihkan karpet, mencuci longkang dan menebas rumput rampai di sekitar surau. Begitu sekali semangatnya orang taman dan penghuni kariah surau bersiap-sedia untuk memasuki gerbang Ramadan dan safari bersamanya.
Imam tarawih pula dipilih di kalangan anak-anak muda, biasanya pelajar tahfiz dari universiti berdekatan. Jemaah pun suka jika Imam membaca ayat-ayat al-Quran pada setiap malam, apa lagi jika suara Imam enak didengari, tartil dan tertib sekali.
Usai tarawih dan witir biasanya disediakan sedikit jamuan dikenali moreh, sebelum kumpulan tadarus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Seorang demi seorang membaca sambil melakukan semakan. Jika berkemampuan, biasanya sebelum 25 Ramadan akan diadakan majlis khatam al-Quran.
Hujung minggu usai solat Subuh, biasanya diisi dengan kuliah pengajian. Bergilir-gilir pendakwah atau ustaz jemputan diundang bagi mengisi kuliah pengajian hujung minggu.
Kuliah biasanya memperkukuhkan lagi kefahaman beragama jemaah, peri pentingnya mematuhi kehendak syariat, hidup beragama, mematuhi tatacara dan etika kehidupan berlandaskan tujuan agama, juga kaitannya dengan maqasid berpuasa.
Maka, berjalanlah sejak sekian lama rutin kebiasaan tersebut di surau kami, malah begitu jugalah surau-surau atau masjid-masjid di segenap pelosok tanah air. Itulah rutin kelaziman yang dilalui sejak sekian lama.
Jika diambil dari tarikh kemerdekaan negara 1957 tidaklah walau sekali umat Islam tidak berpeluang berpuasa dan kemudian tidak berpeluang bertarawih di masjid atau surau.
Sejak sekurang-kurangnya 10 tahun kebelakangan ini, berdasarkan pemerhatian penulis kecenderungan masyarakat Islam untuk menghidupkan jemaah di surau dan masjid kian meningkat dan ketara sekali. Hampir penuh solat tarawih, bersusun-susun pula aktiviti keagamaan, sumbangan dana juga amat menggalakkan.
Surau atau masjid hidup dengan aktiviti keagamaan, kerohanian, pencerahan ilmu, muzakarah, diskusi, forum, bengkel, seminar dan pelbagai acara yang melambangkan minat untuk menghidupsuburkan syiar agama.
Tiba-tiba pada tahun 2020 bersamaan 1421H, datang kejutan pandemik Covid-19 melanda negara dan seantero dunia. Sejak 18 Mac, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sehingga catatan ini ditulis sudah memasuki fasa ketiga berlanjutan sehingga 28 April.
Ini bermakna manakala catatan ini ditulis arahan agar tiada solat berjemaah di surau atau masjid serta tiada solat Jumaat akan berpanjangan sehingga minggu pertama bulan Ramadan 1441H.
Kemungkinan PKP ini dilanjutkan dan bermakna tiadalah majlis keramaian di surau atau masjid, termasuk solat berjemaah, tarawih, berbuka puasa dan sebagainya sehingga tamat musim Ramadan kali ini.
Maka, buat pertama kalinya di dalam sejarah kehidupan manusia moden Malaysia atau di dalam sejarah peradaban bangsa dan kehidupan beragama, kita tidak dapat menyambut Ramadan seperti kelaziman biasa saban tahun.
Inilah rupanya pengertian “the new normal” atau kebiasaan baharu natijah daripada landaan Covid-19 ini. Ini landskap baharu yang harus dilalui oleh segenap lapisan rakyat.
Berikutan PKP ini juga, tiada bazar Ramadan yang biasanya menjadi fokus tumpuan umat Islam membeli juadah pada petang hari sebelum berbuka. Pastinya suasana puasa kali ini amat berskala kecil dari sudut pengisian aktiviti, pergerakan manusia yang terbatas, berpuasa, berbuka, dan bertarawih hanya bersama keluarga. Jika berpanjangan, pastilah ini puasa pertama yang berlanjutan sehingga Hari Raya kita hanya berada di dalam rumah.
Tiada solat Hari Raya di surau atau masjid, tiada tradisi balik kampung atau di Indonesia dikenali mudik, tiada aktiviti membeli-belah pra-perayaan, tiada ziarah-menziarahi, tiada acara membakar lemang atau bantai (acara menyembelih lembu beramai-ramai sebelum puasa atau Hari Raya).
Ada yang sudah bertanya, bagaimana mahu membayar zakat fitrah kali ini apabila pejabat zakat menutup operasi dan tiada lantikan amil rasmi? Meskipun bayaran secara online sebagai alternatif, bagaimana bagi masyarakat di pedalaman atau kampung-kampung yang tiada akses internet?
Pandemik Covid-19 telah mengubah sama sekali wajah, citra dan perjalanan lazim kehidupan manusia sejak sekian lama. Kini orang mungkin banyak menumpukan kepada kesan terhadap ekonomi dan kewangan akibat Covid-19, tetapi jangan lupa sisi lain kehidupan seperti budaya, bahasa, sastera, seni, agama dan rumahtangga serta interaksi masyarakat pun turut berubah.
Buat pertama kali dalam sejarah, terimalah kenyataan ini – berpuasa tanpa solat tarawih berjemaah di surau atau masjid, tiada majlis berbuka puasa di surau atau masjid, tiada moreh, tiada bazar Ramadan.
Jika berpanjangan terimalah kenyataan ini – tiada solat hari Raya berjemaah, tiada balik kampung, tiada kunjungan ziarah, tiada rumah terbuka! Kali ini kita betul-betul bersederhana. Corak kehidupan berubah, kita masih tetap waras. Roh agama masih kejap terikat kerana kita akan kembali kepada fitrah insani!
Oleh: Mohd. Shah Abdullah
Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan,
Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan