Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib bercakap kepada media pada Operasi Nyahkuman susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Zoo Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Operasi nyah kuman di Zon Merah akan diulang sekiranya perlu, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Jelas beliau, ia merupakan usaha konsisten kerajaan bagi memastikan aspek kebersihan dan keselamatan di zon berisiko selain tempat awam yang turut menjadi sasaran operas nyah kuman.

Oleh itu, KPKT menerusi mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap hari akan mendapatkan maklumat terkini daripada pelbagai pihak untuk memantau tempat-tempat yang masih perlu dinyah kuman.

“Kita dipertanggungjawab untuk mengetuai sanitasi awam ini jadi kita akan cuba menyeluruhkan kalau boleh menghabiskan kawasan awam yang ada tempat-tempat yang menjadi keutamaan adalah zon merah telah kita selesaikan.

“Keutamaan kita telah beri kepada kawasan-kawasan merah dan jika perlu kita buat, kita ulangi kembali,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau memaklumkan kesemua 27 Zon Merah telah selesai dijalankan proses nyah kuman.

Ismail berkata demikian ketika hadir ke Zoo Negara bagi menyertai Operasi Nyah Kuman yang dijalankan oleh beberapa agensi hari ini iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Alam Flora dan SWCorp.

Menurut beliau, sejak 30 Mac sehingga semalam sebanyak 2,284 Operasi Nyah Kuman yang diketuai oleh KPKT telah dilaksanakan.

Ia merangkumi 27 di Zon Merah, 16 di zon jingga dan 59 di Zon Kuning.

“Semalam sahaja iaitu Khamis sebanyak 196 operasi sanitasi meliputi 70 zon dilaksanakan di seluruh negara.

“Operasi telah merangkumi 1,575 bangunan kerajaan yang disanitasi, 947 tempat awam, 970 pusat perniagaan, 767 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 183 buah pasar raya,” jelas beliau.

Beliau menambah, meskipun ada kawasan yang tidak merekodkan kes positif Covid-19, namun operasi nyah kuman akan dilakukan sebagai langkah pencegahan.- MalaysiaGazette