PUTRAJAYA – Punca kepada jangkitan Covid-19 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan Hospital Keningau, Sabah disebabkan oleh satu majlis perkahwinan di Ipoh yang dihadiri oleh pesakit pertama kluster itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil siasatan ke atas kes pertama positif Covid-19 di kawasan itu mendapati pesakit itu pernah menghadiri majlis yang diadakan di Perak dan kembali semula ke Likas untuk memulakan tugas di hospital di daerah itu.
Pesakit merupakan petugas barisan hadapan di hospital di Likas.
“Satu wad di Hospital Likas ada jangkitan Covid-19 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas melibatkan 14 pekerja barisan hadapan ataupun pekerja dan doktor.
“Apa yang penting adalah kes pertama adalah dilaporkan pada 27 Mac dan siasatan kita mendapati mungkin puncanya berasal daripada komuniti majlis perkahwinan di Ipoh. Ada kehadiran majlis perkahwinan di kawasan itu kemudian salah seorang balik ke Hospital Likas dan menjangkiti rakan mereka di situ,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.
Awal hari ini, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, kluster tersebut berlaku berikutan ada penularan wabak berkenaan membabitkan anggota kesihatan di kedua-dua hospital terbabit.
Menerusi 42 kes Covid-19 di daerah itu, kluster tabligh merekodkan 24 kes manakala kluster anggota kesihatan iaitu 11 kes. Daripada 11 kes, lapan kes membabitkan petugas kesihatan di HWKKS.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, hasil siasatan itu juga mendapati pantri menjadi kawasan penularan wabak tersebut.
“Dalam siasatan kita mungkin jangkitan bukan di wad tetapi di ruang yang sempit seperti di pantri. Ramai pekerja berkumpul di pantri dan mungkin mereka makan dan ada kesan jangkitan di sana. Jadi ini mungkin satu kluster dan tindakan telah diambil.
“Kita melakukan pengasingan dan kuarantin mereka kalau mereka ada kontak rapat dengan 14 kes positif yang lain,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
Ini yg selalu saya bangkitkan, kes jangkitan yang tidak diketahui bahawa tempat yang kita hadiri atau kenalan kita adalah pembawa, memandangkan kita tidak didedahkan dengan maklumat pesakit sedangkan kita kenal pesakit