Universiti Limkokwing kini telah mengembangkan semangat cintakan negara dan kesukarelawanan di kalangan belia di seluruh Malaysia.

CYBERJAYA – Universiti Limkokwing lahir hasil perjuangan dan semangat nasionalisme, Pengasas dan Presidennya, Tan Sri Dr. Lim Kok Wing yang mahu mendedikasikan pendidikan Malaysia yang bertaraf global.

Kok Wing berkata, cetusan idea penubuhan universiti yang berciri kebangsaan itu bertujuan untuk memajukan masyarakat, pendidikan, kebudayaan dan kesihatan di negara ke peringkat antarabangsa.

“Saya mahu melihat Malaysia menjadi negara pilihan masyarakat dunia untuk melanjutkan pengajianya di sini. Perkembangan sistem pendidikan Malaysia yang mendorong universiti awam dan swasta di negara ini menjadi pilihan antara universiti setaraf global.

“Saya telah terlibat dalam usaha membantu kepimpinan kerajaan Malaysia dan pemimpin dunia dalam bidang penjenamaan dan pendidikan selama 50 tahun dan hasil daripada pengalaman itu, timbul idea menubuhkan Universiti Limkokwing yang kini telah menjangkau usia 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun ke-50 tahun peranan Tan Sri Lim Kok Wing dan ulang tahun ke-25 tahun penubuhan Universiti Limkokwing.

Lim Kok Wing memulakan kerjaya awalnya sebagai wartawan.

Kok Wing yang menjadi antara tokoh pelopor sektor pendidikan tinggi swasta negara menyifatkan industri pendidikan negara mampu berkembang dan lebih berdaya saing dalam tempoh terdekat dan 10 tahun akan datang bukan saja di pasaran domestik malah antarabangsa.

Jelas beliau, matlamat terbabit boleh dicapai melalui kerjasama semua pihak terutama antara pemain industri dalam sektor pendidikan bagi memastikan pasaran itu lebih kukuh apabila Malaysia berjaya mendepani cabaran penularan wabak Covid-19 kelak.

“Matlamat terbabit boleh dicapai melalui kerjasama semua pihak terutama Kementerian Pendidikan Tinggi dan pemain industri dalam sektor pendidikan bagi memastikan pasaran lebih kukuh seperti mana pasaran antarabangsa yang perlu selari dengan ekonomi dunia yang tidak stabil hari ini.

“Kerjasama antara semua pihak ini penting di mana sinergi industri yang perlu dimanfaatkan kerajaan Malaysia hari ini yang mempunyai kepakaran dan kewibawaan tinggi dalam menerajui negara. Kepimpinan kerajaan hari ini terbukti memiliki kekuatan dan kepakaran dalam mengurus tadbir negara dengan baik terutama dalam industri pendidikan dan penjenamaan untuk melawan dan menangani Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, pencetus industri pengiklanan jenama Malaysia dengan sejarah kerjaya tersendiri dalam bidang itu selama 50 tahun berkata, kejayaannya awalnya bermula apabila menubuhkan Wings Creative Consultant Sdn. Bhd. pada tahun 1975 dan muncul sebagai agensi pengiklanan tempatan pertama di Malaysia.

“Pengalaman saya ketika bermula sebagai Pengarah Seni di McCann Erickson dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Kumpulan Kreatif. Saya juga pernah bekerja sebagai illustrator dan pereka bentuk di Preston. Itu antara pengalaman besar saya diberi kepercayaan dalam industri

“Pengalaman itu akhirnya, membantu saya sehingga berjaya membuka sebuah empayar perniagaan dan menubuhkan Universiti Limkokwing yang kini menjadi pilihan pelajar antarabangsa dari 160 buah negara di seluruh dunia,” katanya.

IMBAS KEMBALI. Tan Sri Lim Kok Wing (kanan sekali) bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan gimik pelancaran bersama Menteri Sumber Manusia ketika itu, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem pada Majlis Pelancaran TVET Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Shah Alam pada 27 September 2017.foto FAREEZ FADZIL.

Kok Wing yang pernah menjadi wartawan dan memulakan ruangan kartunnya berjudul ‘ABU’ dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan berkata, peredaran zaman hari ini memaksa masyarakat agar lebih kreatif dalam bidang pemerkasaan agensi pemasaran dan pengiklanan dalan era teknologi digital.

“Keperluan untuk anak muda dibekalkan dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan teknologi digital amat mendesak bagi mengelakkan Malaysia ketinggalan berbanding negara lain. Ilmu dalam bidang teknologi digital mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, sekali gus mengatasi pengangguran dalam kalangan belia.

“Kepesatan perubahan ketika ini begitu cepat. Kalau kita ketinggalan dua, tiga tahun, ia ibarat kita ketinggalan 20 tahun hingga 30 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast