KUALA LUMPUR – Semua syarikat, koperasi, persatuan dan pertubuhan diarah menangguhkan mesyuarat agung tahunan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka dibolehkan untuk mengadakan mesyuarat secara dalam talian seperti persidangan video.
Kata beliau, penangguhan untuk mesyuarat secara berkumpul tidak dibenarkan atas nasihat Kementerian Kesihatan sehingga tarikh yang ditetapkan nanti.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, penerbangan domestik semenanjung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak beroperasi kecuali penerbangan ke Sabah dan Sarawak.
“Seperti diumumkan Kementerian Pengangkutan, penerbangan ke Sabah dan Sarawak dijadualkan seminggu sekali.
“Bagi warga Malaysia yang pulang ke Sabah dan Sarawak, mereka akan dikuarantin sejurus tiba di negeri masing-masing seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.
Namun, kata beliau, penerbangan domestik (Semenanjung) masih dibenarkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang melalui perkhidmatan Firefly.
Ujar beliau, semalam seramai 479 penumpang menggunakan lapangan terbang berkenaan.
Katanya, polisi kerajaan berhubung pergerakan antara negeri masih kekal sama, setelah mendapat surat kebenaran dari polis.
“Pergerakan antara negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan sahaja seperti kematian ahli keluarga atau isu kesihatan. Surat kebenaran ini boleh diminta dari balai polis yang berdekatan.
“Mereka yang terpaksa melakukan perjalanan, sama ada melalui pengangkutan darat dan udara hendaklah mengemukakan surat kebenaran polis,” katanya. – MalaysiaGazette