PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM – Polis mengejar lebih 20 kilometer sebuah kereta jenis Honda Civic dinaiki lelaki disyaki pengedar dadah di Machang Bubok, di sini sebelum kenderaan itu terbabas di belakang sebuah rumah ibadat di Lunas, Kulim di Kedah, Selasa lepas.

Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan merampas lima paket syabu seberat 250 gram; 19 biji pil eramin 5; dan 15 biji pil wy, kesemuanya bernilai RM12,000, serta alat penimbang dan menghisap dadah yang ditemui dalam kereta itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Shafee Abd Samad berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, kereta dinaiki dua lelaki tidak berhenti apabila diarah berbuat demikian untuk pemeriksaan oleh anggota yang membuat rondaan Ops COVID-19 di kawasan Sungai Lembu, Machang Bubok.

“Sebaliknya kereta itu terus memecut laju menghala ke Kulim. Kereta yang dikejar oleh kenderaan polis itu turut melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang wanita di Taman Kulim Square,” katanya kepada Bernama hari ini.

Shafee berkata, lima kenderaan MPV membantu mengejar kereta itu sehingga ke Lunas sebelum kenderaan itu masuk ke lorong sebuah rumah ibadat di situ dan terbabas di belakang kuil itu.

“Dua lelaki keluar melarikan diri ke arah kawasan di belakang rumah ibadat itu dan polis berjaya menahan seorang daripadanya,” katanya sambil memberitahu polis telah mengenal pasti identiti lelaki berusia 20 tahun yang melarikan diri itu dan sedang memburunya. – Bernama