KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar Datuk Seri Dr Adham Baba kerap muncul di laman media sosial dan media konvensional.

Langkah itu adalah bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa Menteri Kesihatan itu sentiasa bersama di barisan hadapan dengan Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Katanya, menteri-menteri yang lain juga perlu menonjolkan diri masing-masing di media namun, hanya seorang sahaja yang menjadi jurucakap bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Yang penting koordinasi ini telah berjalan dengan baik setakat ini dan saya harap ia dapat diteruskan.

“Datuk (Adham) kena kerap muncul dalam sosial media dan media konvensional supaya rakyat dapat melihat bahawa menteri kesihatan berada di barisan hadapan bersama-sama dengan Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan yang lain dalam menangani masalah Covid-19 ni,” kata Ahmad Zahid menerusi tele-sidang dengan Adham hari ini.

Terdahulu, Adham menyatakan kepada Ahmad Zahid mengenai langkah pantas yang dilakukan oleh pihaknya dalam usaha bagi menghentikan rantaian penularan wabak berkenaan setelah kerajaan sebelum ini agak lambat untuk berbuat demikian.

Menurut Adham, penularan wabak itu menjadi luas bermula daripada perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling yang sepatutnya dibendung lebih awal oleh kerajaan terdahulu hingga kemudian wujudnya kluster tabligh hingga generasi kelima.

Ujarnya, jika kluster tabligh itu dapat dibendung sebelum ini beliau memberi jamin gelombang kedua wabak berkenaan tidak akan berlaku.

Sementara itu, Adham memberitahu Ahmad Zahid bahawa beliau menjangkakan wabak Covid-19 yang mengorbankan 86 individu tidak akan berakhir sehingga sambutan perayaan Aidilfitri.

Ujarnya, beliau sukar membuat keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu akan dihentikan sewaktu perayaan berkenaan yang dijangka disambut umat Islam pada pertengahan Mei ini.

“Sukar untuk buat keputusan kerana ini adalah bentuk pandemik. Kita lihat ada tiga negara di dunia yang sebelum ini keluar dari PKP tetapi ada kajian, ada naik balik kes Covid-19 dan mereka sudah mula amalkan PKP.

“Sekarang ini tugas kita adalah untuk mendatarkan lekuk Covid-19 ini, nampaknya sudah berhasil. Saya jangka Covid-19 ini tidak akan berakhir sehingga bulan puasa, bahkan bulan raya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Kami rakyat minta Adham bekerja lah jangan asyik makan gaji buta je kalau tak tahu buat kerja letak je jawatan.

  2. Tak kata apalah cuma kena ingt jugak sekarang ni sape yg duduk rumah sape yg buat keje kan….

  3. Jawatan yg diberi adalah utk berkhidmat kpd negara..dan rakyat..gunalah apa cara yg dirasakan sesuai utk rakyat merasakan perkhidmatan ,jgn sampai keberandaan anda tidak nampak fungsinya

Comments are closed.