Presiden Persatuan Penggerak Muda, Selvaakumaran Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Pelik bunyinya apabila wakil rakyat memberikan alasan tidak logik termasuk jika sesebuah keluarga itu mampu melanggan perkhidmatan Astro bermakna mereka tidak susah dan tidak perlu diberi bantuan ketika penularan Covid-19 melanda negara.

Malah juga memberikan alasan seandainya sudah menjadi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) maka kumpulan itu tidak layak menerima bantuan kerajaan negeri walaupun dalam golongan B40.

Itulah fenomena yang sedang dihadapi oleh kebanyakan penduduk serta keluarga masyarakat India di Bukit Selambau, Kedah terutama di Lorong Permaipura Murni yang rata-ratanya hampir 70 peratus masyarakat India.

Kebanyakan mereka pula dalam kalangan ‘kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang’ dengan masing-masing terdiri daripada petani, penternak, peniaga kecilan dan lain-lain yang tidak mempunyai pendapatan tetap ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Itulah dakwaan aktivis merangkap Presiden Persatuan Penggerak Muda, Selvaakumaran Subramaniam kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selvaakumaran yang juga seorang pengamal undang-undang juga kecewa kerana usahanya untuk berhubung dan cuba membantu kumpulan melalui wakil rakyatnya yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri sebenarnya mengecewakan.

“Saya sebenarnya kecewa, pengundi undi anda. Covid-19 mahupun PKP ini sesuatu yang rakyat kita tidak sangka akan malah golongan susah seperti B40 dan miskin tegar ini dengan pendapatan tidak tetap apatah lagi duduk di pedalaman sebenarnya memang tidak bersedia untuk ini.

“Pastinya mereka lebih daripada memerlukan bantuan dari semua pihak, tidak kira kerajaan pusat mahupun negeri. Kerana itu, walaupun kerajaan ada menyalurkan pelbagai bantuan kerajaan negeri juga ambil inisiatif.

“Inilah masanya wakil rakyat untuk tampil membantu rakyat, dapatkan mereka bantuan yang sepatutnya. Kenalpasti apakah lagi yang boleh dilakukan untuk membantu golongan-golongan memerlukan bukanlah memberikan pelbagai alasan tidak logik,” katanya.

Kata Selvaakumaran, sudah masuk fasa 3 PKP namun masih ramai lagi yang ketika ini tidak mendapat sebarang bantuan kerajaan negeri walaupun mempunyai ‘kuasa’ lebih bergelar Exco Kerajaan Negeri.

“Apabila pihak menghubungi pejabat ADUN, kami diberikan pula maklumbalas mengecewakan dan tidak munasabah.

“Antaranya, tidak semua memerlukan bantuan. Pelik benar sedangkan kumpulan yang saya sebutkan ini golongan yang tiada pendapatan tetap, susah. Jika menerima BSH katanya sudah tidak layak dapat bantuan pejabat Adun.

“Begitu pula? Apakah kaitannya? Jika pusat bagi bermakna kerajaan negeri boleh ‘cuci tangan’ daripada melakukan lebih untuk rakyat? Jadi untuk apa jadi wakil rakyat?

“Lagi teruk, jika ada melanggan perkhidmatan Astro, itu sudah menunjukan golongan ini berkemampuan, boleh sara hidup jadi bantuan tidak perlu. Apakah ini? Saya tidak fahamlah. Jawapan apa ini? Memalukan betul.

“Persoalan juga timbul, adalah pernilaian yang dilakukan terhadap pemohon-pemohon ini cukup munasabah dan waras? Walhal keadaan wabak pandemik ini belum pulih sepenuhnya malah ketika ini PKP masih lanjut lagi,” tegasnya.

Jelas peguam muda itu lagi, ketika ini pihaknya sendiri telah mengenalpasti 30 keluarga di sekitar Lorong Permaipura Murni memerlukan bantuan dan berada dalam keadaan terdesak namun tidak mendapat apa-apa maklumbalas.

“Saya juga telah menulis kepada ADUN, juga melalui lisan. Tidak ada apa-apa yang positif. Apa yang saya hendak mohon malah merayu, tolonglah bantu mereka-mereka ini. Anda lebih kenal pengundi anda, tolong mereka. Mereka undi anda kerana percaya kehidupan mereka akan menjadi lebih baik, kebajikan terbela.

“Bukankah ini masanya untuk buktikan semua itu? Jadi tolonglah, saya mohon,” tegasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dah sanggup pilih hancing , terima pun hancing lah ..malas nk komen lebih lebih . Masing masing dah ..

Comments are closed.