Gambar hiasan

WABAK Covid19 telah menjangkiti 2, 332, 456 orang seluruh dunia dan menyebabkan kematian 160,784 orang. Kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS) mampu mengubah dunia dengan pengaruh ekonomi malah budaya masing-masing. Lagipula ‘Chinese Dream’ dan ‘American
Dream’ menjadi tarikan dunia kerana kedua-duanya memperjuangkan kebahagiaan rakyat dan kesamarataan hak demi taraf kehidupan yang lebih baik. Sejarah menunjukkan apabila kuasa besar seperti AS dan China patuh kepada prinsip asas perdagangan, mereka mampu mengubah apa sahaja bencana, termasuklah Covid19, menjadi rahmat.

Nostalgia AS dan Perang Tarif

Ketika dunia ditimpa Great Depression antara 1929 dan 1939, Presiden AS Herbert Hoover melaksanakan Akta Tarif Smoot-Hawley 1930 dengan mengenakan kadar tarif yang tinggi
kepada import barangan luar dengan niat membantu petani Amerika. Namun 25 negara rakan import AS membuat ‘serang-balas’ dengan turut mengenakan tarif
tinggi ke atas produk AS, lantas terbantut perdagangan antarabangsa bermula 1930. Tiada amalan prinsip perdagangan yang khusus dilaksanakan dalam Akta 1930 tersebut. Perubahan positif berlaku apabila AS menggazetkan undang-undang baru iaitu Akta Perjanjian Perdagangan Persetujuan Bersama 1934 yang memberi kuasa perundingan kepada White House untuk menurunkan tarif eksport dan import barangan.

Presiden Franklin Roosevelt pada ketika itu turun padang berunding dengan pemimpin negara rakan dagang AS. Sekatan perdagangan diminimakan dan 19 negara menandatangani perjanjian perdagangan dengan AS di bawah Akta 1934 ini termasuk Belanda, Belgium, Perancis, Sweden, Switzerland dan UK. AS terus mempelopori perdagangan antarabangsa sehinggalah Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan 1947 dimeterai. Daripada GATT, lahirlah prinsip seperti Layanan Negara Terbaik yang mana setiap negara ahli perlu memberi layanan terbaik tanpa diskriminasi perdagangan sesama negara ahli.

Prinsip amalan Roosevelt ini menjadi contoh yang baik dalam polisi perdagangan antarabangsa. Malangnya, pentadbiran Trump mengulangi amalan Hoover dan bukan Roosevelt. Alasan Trump ialah perang dagang perlu untuk pemulihan ekonomi AS disebabkan China mengambil kesempatan ke atas import AS menerusi ‘amalan perdagangan yang tidak adil’.
Sebelum covid19 melanda, petani AS telah pun sengsara hampir dua tahun apabila kehilangan pasaran China daripada $19.5 billion pada 2017 kepada $9.2 billion pada 2018. AS perlu mengulangi sejarah toleransi dan perundingan Roosevelt dalam keparahan wabak covid19. Perancangan import kacang soya AS yang dijadualkan lebih giat bermula April ini memerlukan rundingan efektif dengan China. Ini kerana China juga baru bangkit daripada covid19 dan mungkin mengalami kesukaran mematuhi perjanjian untuk membeli produk AS, seperti yang dipersetujui Januari lalu di bawah ‘perjanjian perdagangan Fasa 1’.

Namun petanda baik dilihat apabila Setiausaha Negara AS, Michael R. Pompeo dengan Yang Jiechi, Pengarah Pejabat Luar Negeri Parti Komunis China, berbincang baik tentang membendung Covid19 baru-baru ini. Urusan bekalan bantuan perubatan dan peralatan antara AS dan China ini hanyalah langkah pertama dalam membanteras pandemik Covid-19 yang bersih daripada provokasi dan konspirasi. Dunia tentunya mengharapkan persengketaan kedua-dua kuasa besar ini
terhenti demi kesejahteraan ekonomi dan kesihatan sejagat.

Nostalgia China dan Perang Candu Pada kurun ke-18, China mengamalkan dasar tutup pintu menutup pasaran luar daripada
memasuki China kecuali melalui Pelabuhan Canton. Sikap anti-perdagangan menyukarkan perdagangan dengan Britain yang memerlukan teh, sutera dan porselin daripada China tetapi China tidak berminat langsung dengan pasaran luar termasuk Britain.
China memandang negara asing sebagai golongan hina dan tidak bertamadun.

Sungguhpun Laluan Sutera China telah wujud, yang  memburukkan keadaan ialah apabila saudagar – saudagar China di Pelabuhan Canton yang berkuasa memberi kebenaran
berdagang, mengenakan cukai yang tinggi terhadap pedagang, menentukan jenis perdagangan dan meletakkan harga barangan sesuka hati tanpa sebarang standard khusus. Britain tidak berpuas hati lalu menjual candu kepada China secara penyeludupan haram. Ini menyebabkan kemarahan Dinasti Qing dan peperangan secara terbuka antara Britain dan China tercetus pada tahun 1839. Kekalahan China menyebabkan China terpaksa menandatangani dua perjanjian. Pertamanya, Perjanjian Nanjing dengan Britain. Mengikut perjanjian ini, China perlu menetapkan kadar tarif yang berpatutan ke atas barangan dagangan asing di samping penyerahan Hong Kong kepada Britain serta pembukaan lima lagi pelabuhan selain Canton untuk perdagangan asing.
Kedua, Perjanjian Tianjin juga termeterai antara China, Britain, AS, Russia dan Perancis.

Kesemua negara ini mengikut jejak langkah Britain untuk turut memaksa China membuka pelabuhan kepada pedagang asing.
Realitinya, kedua-dua perjanjian ini berat sebelah kerana China terpaksa berkorban Hong Kong dan membenarkan perdagangan candu tanpa rela hati. China membuka pintu kepada perdagangan bebas hanya kerana gagal berdiplomasi dengan baik sehingga pertumpahan darah. China juga kalah kerana ketagihan rakyatnya ke atas candu menyebabkan perdagangan candu diperlukan di China. Mengambil pengajaran lalu, China hari ini perlu telus memastikan perjanjian perdagangan mestilah adil dan saksama dan tidak hanya memikirkan Chinese Dream hanya untuk kepentingan rakyat dan negara mereka. Polisi perdagangan China bukan berasaskan keuntungan semata-mata tetapi impian tersebut boleh dikongsi bersama melalui manfaat kepada negara-negara terutamanya negara paling kurang membangun. Perjanjian di zaman moden ini tidak lagi seperti Perjanjian Nanjing atau Tianjin kerana telah lengkap dengan prinsip asas perdagangan di bawah WTO.

Bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pimpinan China, negara-negara ASEAN ingin melihat China memimpin mereka dengan baik. Amalan prinsip
layanan istimewa dan berbeza terutamanya kepada Kemboja dan Laos membolehkan China membantu pembangunan negara-negara ini dengan memberi fleksibiliti sebagai sebahagian daripada layanan istimewa dan berbeza dengan negara-negara sedang membangun. Fleksibiliti ini mungkin dalam bentuk tempoh peralihan yang lebih panjang atau komitmen
akses pasaran pada peringkat yang lebih rendah. RCEP ketika ini telah ditandatangani tetapi belum termeterai secara sah pada Februari kerana terganggu oleh wabak Covid-19.

Kesimpulannya, pematuhan prinsip perdagangan yang adil membolehkan perdagangan antarabangsa pulih pada awal tahun 2021 sekiranya kuasa besar seperti AS dan China bersatu hati dan bekerjasama baik dalam memuliakan ekonomi dan memastikan rantaian bekalan global tidak terjejas teruk.
Belajarlah dari sejarah kejayaan kebangkitan masing-masing. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bina kesepaduan, buanglah persengketaan.

Oleh: Dr Amalina binti Ahmad Tajudin, Timbalan Dekan dan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast