SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan jumlah penerima bantuan zakat meningkat sehingga 10,000 keluarga akibat kehilangan kerja dan punca pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac hingga 28 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M.Yusop berkata, peningkatan itu menjadikan penerima bantuan zakat sedia ada yang berdaftar dengan LZS kepada 70,000 keluarga dalam kalangan fakir, miskin dan mualaf sebelum ini.
“Sebelum ini kita menjangkakan hujung 2020, jumlah keluarga asnaf yang akan berdaftar dengan kita adalah 70,000 keluarga fakir, miskin dan mualaf.
“Tapi keadaan yang berlaku ketika ini, kita menjangkakan bahawa jumlah akan bertambah lagi 10,000 asnaf, bermakna pada hujung tahun ini jumlah fakir, miskin dan mualaf akan menjadi 80,000 keluarga.
“Apa kita buat ialah kita melihat balik bantuan-bantuan yang kita sediakan di samping pihak kutipan yang menjalankan program-program tertentu untuk memastikan sasaran kutipan kita akan mencapai sebanyak mungkin tahun ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat LZS, di sini, hari ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah kutipan zakat di Selangor juga akan terkesan susulan langkah kerajaan melaksanakan PKP untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan tidak membenarkan beberapa industri beroperasi.
“Dari segi jangkaan, secara logiknya dari segi ekonominya, statistik oleh pihak kerajaan, MIER dan pengkaji ekonomi, LZS turut terkesan disebabkan keadaan ekonomi semasa.
“Kita menjangkakan bahawa kutipan LZS dan mungkin semua pusat zakat di negara ini akan berkurangan,” katanya.
Ditanya tentang permohonan bantuan zakat daripada orang ramai susulan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan sepanjang tempoh PKP, beliau berkata, sebanyak lebih 3,000 permohonan diterima pihaknya.
“Bila kita buka bantuan Covid-19, kita tidak menjangkakan permohonan sebegitu besar, dalam masa beberapa hari, kita terima permohonan lebih 3,000 orang.
“Setakat ini yang kita boleh bantu hanya yang mengikut syarat ialah maksimum 2,000 sahaja. Kita dahulukan mereka terkesan ini yang sebelum ini membantu zakat,” katanya. – MalaysiaGazette
Mohon kerajaan negeri meluluskan undang2 mewajibkan orang islam membayar zakat jika sudah cukup syarat. Selama ini ianya berdasarkan konsep sukarela dan walaupun kerajaan persekutuan memberikan potongan cukai pendapatan terhadap zakat yang dibayar, masih ramai orang Islam dan syarikat milik Islam yang belum menunaikan fardu zakat ini.