Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata negara jiran, Singapura hari ini merekodkan kenaikan mendadak kes positif Covid-19.

KKM berkata, Singapura mengesahkan pertambahan 1,426 kes.

“Singapura hari ini mengesahkan tambahan 1.426 kes jangkitan Covid-19, terutamanya di kalangan pekerja asing yang tinggal di asrama,” kata KKM menerusi akaun Twitter.

Singapura kini mempunyai jumlah kes penyakit tertinggi di Asia Tenggara pada 8,014 dengan 11 kematian, katanya.

Berdasarkan statistik semalam, Singapura hanya mencatatkan 5,992 kes positif di hadapan Malaysia.

Sehingga kini, 768 pesakit di negara itu telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan telah dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 22 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 11 meninggal dunia.

Memetik laporan Channel News Asia, kluster di S11 Dormitory@Punggol kekal sebagai penyumbang terbesar kes Covid-19 dengan 1,508 kes sementara kluster Sungei Tengah Lodge, dengan 521 kes.

Semalam sahaja, republik itu mengenalpasti lima kluster baharu iaitu Woodlands Lodge I; Changi Lodge II; 51, Paya Ubi Industrial Park; 17, Jalan Besut; dan Sembawang Shipyard.

Setakat ini, Singapura mewartakan 12 asrama yang dijangkiti sebagai kawasan pengasingan dengan kebanyakan asrama yang dijangkiti itu dihuni oleh warga Bangladesh, India, China dan Myanmar. – MalaysiaGazette