Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1.5 juta permohonan pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan.

Setakat 17 April lalu, sebanyak 2.8 juta permohonan telah diterima.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, jumlah kelulusan itu adalah penambahan lebih 300,000 daripada minggu lalu.

Kesemua ini melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak RM702 juta untuk bulan Mei 2020.

Selain itu, katanya, di bawah KWSP juga, caruman bulanan pekerja telah dikurangkan daripada 11% kepada 7%.

Namun, pekerja diberi pilihan untuk mengekalkan kadar carumannya dan sehingga 17 April, 600,000 atau 8% pekerja memilih untuk tidak mengurangkan caruman mereka.

Manakala bagi pekerja yang meneruskan pengurangan caruman, ia dijangka menambah sebanyak RM1.1 bilion pendapatan boleh guna kepada mereka pada bulan April ini.

Menurutnya, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 yang pada awalnya diperuntukan diluluskan untuk 1.4 juta penjawat awam dan 900,000 pesara turut diberikan kepada kepada 180,000 veteran angkatan tentera bukan
berpencen.

Bantuan ini selaras dengan semangat Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang memastikan tiada sesiapapun akan tercicir menerima bantuan kerajaan. – MalaysiaGazette