KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan hari ini memaklumkan solat sunat tarawih hanya dibenarkan di rumah masing-masing sahaja.

Oleh itu, penduduk negeri itu tidak dibenarkan untuk menunaikan solat sunat tarawih di masjid, surau atau tempat-tempat lain dalam bentuk berkumpulan.

Malah, iktikaf dan sebarang aktiviti juga tidak dibenarkan di masjid dan surau, menurut Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Pengerusi MAINS, Datuk Mohamed Husein berkata, arahan itu mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan di sini, MAINS juga mengumumkan kadar zakat fitrah pada tahun 1441H ini adalah pada nilai RM7 seorang dan bayaran bergantung kepada kemampuan pembayar atau ketua keluarga.

“Contohnya En.Abu seorang ketua keluarga yang mempunyai seorang isteri dan 5 orang di bawah tanggungannya ( jumlah 7 orang semuanya ), namun kemampuan dia pada ketika ini hanya dapat menunaikan zakat fitrah untuk 3 orang sahaja.
”Maka kewajipan zakat fitrah En. Abu bagi tahun 1441H ini ialah untuk 3 orang sahaja ahli keluarganya iaitu sebanyak RM21 sahaja dengan mengambil kira kadar zakat fitrah sebanyak RM7.00 seorang,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, bayaran zakat adalah secara dalam talian sepenuhnya.

Namun, jika tidak tidak berjaya membuat pembayaran disebabkan masalah talian dan sebagainya, sehingga berlalunya bulan Ramadan, maka pembayar boleh membayar zakat fitrah secara Qada’ setelah tempoh PKP tamat. – MalaysiaGazette