Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyarankan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung tindakan sewajarnya bagi melindungi kawasan zon hijau Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun Perlis kini bebas wabak itu, fokus tindakan bukan setakat negeri tetapi juga membabitkan daerah dan mukim.

“Kita dalam proses melihat pada bukan negeri tapi juga daerah dan mukim..kita sedang buat perancangan untuk tindakan selanjutnya.

“Perbincangan dengan MKN akan dibuat untuk melihat kawasan-kawasan zon hijau. Kawasan zon hijau perlu dilindungi.

“Jadi kita akan sarankan tindakan sewajarnya untuk kawasan zon hijau bukan hanya negeri tapi daerah dan mukim-mukim. Tindakan seterusnya kita akan maklumkan seminggu dua ini,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan mengenai pergerakan penduduk negeri Perlis dan adakah negeri itu akan dijadikan sebagai projek rintis bagi menamatkan PKP setelah dikenalpasti sebagai zon hijau ekoran ketiadaan kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat ini.

Perlis menjadi negeri pertama di Malaysia bebas daripada wabak Covid-19 selepas 18 kes positif sebelum ini pulih sepenuhnya.

Data berkenaan dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan apabila kesemua daerah di negeri itu berada di bawah zon hijau.

Sebelum ini, sembilan mukim negeri itu ‘diserang’ Covid-19 manakala 13 yang lain bebas jangkitan wabak berkenaan. – MalaysiaGazette