Sebelum ini tular di media sosial apabila Ustaz Ebit Lew menziarahi Ishak yang turut dikenali sebagai Pak Ishak yang terlantar akibat strok bersama keluarganya tinggal di rumah usang di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, kerana tidak mampu menyewa di tempat lain.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew mengucap terima kasih kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang selama ini membantu keluarga Ishak Darus dengan memberi pelbagai bantuan.

Ebit turut merakamkan penghargaan sama kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jiran lama keluarga itu yang baik kerana sering menolong dengan menghantar makanan.

Tidak dilupakan kata Ebit, pihak Masjid Kariah yang mengambil berat hal dan Kerajaan Negeri Kedah.

“Saya minta maaf pada semua yer. Mereka semua dah bantu banyak sangat. Setitik sahaja usaha saya berbanding mereka semua. Saya urus cuma beberapa orang dah menangis penat. Mereka semua urus seluruh negeri dan setiap pelusuk negeri sepanjang hayat. Saya cuma sikit sangat. Saya pohon janganlah salahkan jiran, jkm atau pusat zakat atau mana-mana orang.

“Saya salah saya minta maaf. Dari hujung rambut sampai hujung kaki pada JKM, LZNK, Kejiranan lama Pak Aq dan semua yer. Saya pohon ampun yer. Benar-benar minta ampun pada semua. Saya cuma ingin kasih sayang buat mereka. Saya cuma tak boleh tahan mereka duduk situ.

“Sedih sangat menangis jer. Saya sayang semua. Saya sayang anak-anak dan pakcik makcik tu mereka baik sangat dari mula sampai saya nak balik tadi. Sorrylah yer. Saya salah saya minta maaf. Saya tak buat apa pun. Terima kaseh semua yer. Semua orang baik. Saya salah saya minta maaf,” tulisnya di Facebook miliknya hari ini.

Ishak Darus, 77, yang merupakan pesakit strok dan keluarga berjaya dipujuk Ebit untuk berpindah ke kediaman baharu yang lebih selesa di Lorong Fajar, Jalan Sultanah di Alor Setar, Kedah, kelmarin.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman memaklumkan usaha memujuk Ishak sudah dilakukan pihaknya sejak 12 tahun lalu namun keluarga daif itu enggan berpindah.

Selain ditawarkan rumah, keluarga terbabit turut menerima bantuan bulanan kewangan, bantuan makanan fakir miskin, bantuan awal persekolahan, bantuan Aidilfitri dan bantuan Jaya Diri.

Foto Facebook Ebit Lew.

Sementara itu, Ebit yang sering memberi ceramah keluarga bahagia turut bersyukur kerana keluarga Ishak dapat mendiami rumah baharu menjelang Ramadan nanti.

“Syukur tadi setelah lebih 15 tahun keluarga ini buat kali pertama dapat pindah dari pondok usang dan menyedihkan. Saya dapat beri hadiah kasih sayang saya buat keluarga ini. Dapat beri mereka rumah baru selesa takyah bayar. Saya insyaAllah bayar selagi hayat.

“Belikan peti ais, mesin basuh, rice cooker, cerek, dapur gas, kipas, tilam, baju raya, bantal, semualah peralatan rumah. Hanya setitik usaha saya ini dibandingkan usaha mereka sepanjang tahun dan seluruh negeri kedah.15 tahun kasihan keluarga ini. Selepas ini saya serahkan pada pihak berwajib.

“Terima kaseh dengan bantuan kejiranan baru yang baik tadi. Mereka beramai bawa mesin rumput. Bawa katil. Kami bincang aturkan anak sekolah. Aturkan rawatan kesihatan pak ak dan isteri yang perlu rawatan mingguan. Ada guru mengaji. Kelas di surau selepas PKP. Terima kaseh penduduk taman dan jiran baru yang sangat positif dan membantu. Terima kaseh yer. Tanpa tuan puan saya tak mampu buat apa-apa pun. Tadi dapat bantu anak-anak ini sama-sama gotong royong. Best didik macam keluarga sendiri.

“Doakan dah selesai semua di utara. Nak terus balik kl. Rindu isteri dan anak-anak. Rindu bidadari. Rindu safiyyah lew. Rindu rayyan lew. Rindu Qadeejah Lew, Rindu Rindu Uqashah Lew. Nak jadi suami dan ayah menikmati hidup rasa syukur. Rindu ayah dekat kampung sangat. Ya Allah rindu padaMu ya Allah,” luahnya panjang lebar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast