Datuk Dr Yusof Ismail

KUALA LUMPUR- Datuk Dr Yusof Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) berkuat kuasa hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Ijazah Sarjana Pembangunan Ekonomi dari Williams College, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) dan Doktor Falsafah Pembangunan Komuniti dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Yusof, 58, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun dengan memulakan tugas sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Ekonomi di Kementerian Kewangan pada 12 Januari 1988.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, pelaburan strategik dan ekonomi serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Transformasi dan Pemodenan Pengurusan) MAMPU.

Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (Bahagian Pelaburan Strategik), Kementerian Kewangan.- MalaysiaGazette