KUALA LUMPUR – Bagi mendepani cabaran ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mengkaji kaedah untuk memulihkan ekonomi secara bertahap ekoran perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk merangka pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana.
Langkah itu katanya, bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka pelan pemulihan ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.
“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenalpasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana serta mendorong
keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Ramadan secara langsung malam ini.
Kearah itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang merangka inisiatif bagi membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan beberapa sektor dan sub sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi.
Ia bagi menjamin syarikat terus berdaya saing dan para pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran yang selamat.
“Garis panduan serta syarat-syarat yang terperinci akan diberikan kepada para pelabur dan sektor korporat untuk memulakan operasi syarikat masing-masing,” katanya lagi.
Penghujung Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang bertujuan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19. -MalaysiaGazette