MEKANIK bertauliah Muhammad Hafizuddin Mohd Sidek menggunakan peralatan terkini dalam kerja- kerja penyelengaraan kenderaan pelanggannya di Shah Alam. Foto: MOHD NAIM AZIZ.

SHAH ALAM – Perkhidmatan servis kenderaan terus ke garaj kenderaan rumah antara salah satu perkhidmatan terkini yang dijalankan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Kesempatan dalam tempoh PKP  memberi ruang rezeki kepada dua usahawan muda, Mohd Fauzi Kamar dan Muhammad Hafizuddin Mohd Sidek dalam memberi perkhidmatan membaiki kenderaan kepada golongan memerlukan khususnya warga emas.

Inisiatif itu diambil berikutan ramai pelanggan yang menghubunginya bertanyakan sama ada mereka boleh ke kediaman mereka untuk membaiki kenderaan sepanjang PKP.

MOHD Fauzi Kamar melakukan proses sanitasi nyahkuman di dalam ruang kenderaan pelanggan. Foto: MOHD NAIM AZIZ.

“Operasi bengkel saya memang dibuka hari dari hari Isnin hingga Sabtu bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang. Lagipun operasi bengkel ini mendapat surat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kebanyakan kenderaan yang dibaiki adalah kenderaan agensi dan jabatan- jabatan di bawah MBSA tetapi dalam tempoh PKP ini kenderaan awam tidak digalakkan datang ke bengkel,” jelasnya ketika ditemui baru- baru ini.

PERALATAN asas dibawa semasa menjalankan perkhidmatan ke rumah. Foto: MOHD NAIM AZIZ.

Bengkel yang bertempat di Shah Alam itu sudah memulakan operasi sejak tiga tahun lalu di bawah syarikat Gerobok Emas Entreprise dan telah berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia.

Menurutnya, perkhidmatan ke rumah bergantung kepada persetujuan pemilik kenderaan mengikut terma dan syarat.

Sekiranya pemeriksaan awal dilakukan dan mendapati kenderaan tersebut perlu ditunda ke bengkel maka persetujuan antara kedua pihak perlu dilakukan.

Penyerahan kunci kenderaan kepada pemilik mengikut panduan jarak sosial dan penggunaan sarung tangan dan pelindung muka. Foto: MOHD NAIM AZIZ.

“Perkhidmatan servis kenderaan di rumah ini tertumpu kepada penduduk di sekitar Shah Alam sahaja dengan kadar percuma untuk kedatangan kami ke rumah pelanggan.

“Proses sanitasi menyahkuman ke dalam ruang kenderaan juga kami jalankan mengikut piawaian operasi standard Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya lagi.- MalaysiaGazette