KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menyifatkan keselamatan keluarga adalah keutamaanya ketika ini apabila Singapura melanjutkan langkah pemutus rantaian wabak Covid-19 sehingga 1 Jun ini.
Dia yang ketika ini berada di Singapura bersama keluarga menerima keputusan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong kelmarin dalam usaha mengatasi penularan wabak berkenaan apabila jumlah kes dilihat semakin bertambah.
Justeru, tiada apa lagi yang lebih penting untuk jurulatih kelahiran Singapura ini selain daripada kesihatan dan keselamatan keluarganya dan bersyukur dapat bersama-sama mereka di rumah dalam melewati tempoh yang sukar ini.
“Sepatutnya langkah pemutus rantaian akan tamat pada 4 Mei tetapi kami telah dimaklumkan ia dilanjut sehingga 1 Jun selepas mengambil kira pelbagai aspek.
“Jadi, ketika ini semestinya masa saya bersama keluarga amat penting untuk kami sama-sama menjaga kesihatan diri di rumah kerana risau juga dengan keadaan sekeliling sekarang.
“Namun, sekiranya tempoh kawalan pergerakan di Malaysia berakhir lebih awal, saya berhasrat ingin pulang ke sana jika tiada halangan dan kita tengok dulu macam mana keadaannya.
“Dekat sini sebenarnya bukanlah sekatan pergerakan sepenuhnya kerana kami masih boleh keluar tetapi hanya atas urusan penting seperti membeli barangan dapur dan sebagainya”, jelasnya.
Tambah Aidil, beliau tetap menitikberatkan perancangan latihan yang rapi buat barisan pemain bagi memastikan mereka tidak terlepas sebarang latihan walaupun hanya berada di rumah.
Dia akan membuat panggilan video bersama anak buahnya sebanyak empat hari seminggu dan selebihnya adalah masa bersama barisan kejurulatihan lain dalam merangka latihan untuk pasukan.
“Setiap hari Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat saya dan pemain-pemain akan membuat panggilan video untuk berbincang mengenai latihan bersama mereka.
“Seterusnya, saya juga sentiasa berhubung dengan barisan kejurulatihan lain untuk kami buat pelan A dan B untuk pasukan.
“Ini kerana, jika semuanya akan pulih dalam waktu terdekat ini, kami akan bersama pasukan kembali untuk berlatih dan sudah pasti apa yang diperlukan adalah aksi persahabatan sebelum liga kembali bermula.
“Tetapi, jika ia berlanjutan lagi ke satu tempoh yang belum pasti, pelan B adalah untuk kami menambah sesi latihan pemain dengan lebih kerap kerana kecergasan mereka begitu penting ketika ini”, katanya.
Kedah dilihat sedikit bergelut pada awal musim apabila hanya memenangi satu perlawanan dan berada di kedudukan ketujuh saingan CIMB Liga Super 2020 sebelum saingan ditangguhkan pada 16 Mac lalu akibat wabak Covid-19. – MalaysiaGazette