Musa Awang
Musa Awang

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menerima sekurang-kurangnya lapan jenis isu aduan berkaitan syariah melibatkan permasalahan rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Musa Awang berkata, polis pula melaporkan sebanyak 353 kes keganasan rumah tangga berlaku sejak 18 Mac lalu.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menggesa kerajaan untuk membenarkan Mahkamah Syariah meneruskan operasi sepanjang tempoh PKP berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Katanya, pada 14 April lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menghantar surat permohonan bagi mendapatkan pandangan dan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan perbicaraan kes syariah semasa dalam tempoh PKP.

Menurut Musa, antara kes diterima PGSM menerusi program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian yang dilancarkan 7 April lalu ialah lafaz perceraian.

“Aduan yang kita terima ialah kes suami melafazkan cerai dalam tempoh PKP, sedangkan lafaz tersebut tidak dapat disahkan oleh mahkamah syariah kerana mahkamah tidak beroperasi.

“Ada kes perebutan hadhanah dan lawatan anak yang tidak dapat dilaksanakan oleh pihak-pihak semasa PKP.

“Dan juga isu pengabaian atau kecuaian nafkah isteri atau nafkah anak-anak sepanjang tempoh PKP yang mana tuntutan tidak dapat dibuat kerana mahkamah syariah tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menyatakan, isu keganasan rumah tangga, yang mana suatu perintah tegahan atau tinggal berasingan tidak dapat dipohon ke mahkamah kerana mahkamah syariah tidak beroperasi.

Selain itu, kita juga menerima aduan mengenai isu pelupusan harta oleh pihak-pihak apabila berlaku perceraian atau kematian di mana suatu perintah tegahan transaksi pelupusan harta tidak dapat dipohon ke mahkamah syariah.

“Kita amat mengharap kerajaan dapat mencari solusi segera bagi menyelesaikan permasalahan ini, tambahan pula tempoh baharu PKP dilanjutkan ditetapkan sehingga 12 Mei ini,” katanya.

Musa turut memberikan cadangan agar Mahkamah Syariah dibenarkan beroperasi tiga hari seminggu iaitu dari Isnin sehingga Rabu dan dibuka jam 8 pagi hingga 1 tengah hari sahaja.

Beliau juga menetapkan setiap peguam, kakitangan mahkamah dan pelanggan memastikan penjarakan sosial dan wajib memakai topeng muka.

Katanya, kes akan didengar dalam mahkamah terbuka sahaja dengan jarak lebih satu meter antara satu individu dan individu lain.

“Hanya pihak-pihak litigant dan atau Peguam Syarie sahaja dibenarkan, manakala kanak-kanak atau ahli keluarga dilarang sama sekali hadir.

“Kehadiran pihak-pihak dan atau Peguam Syarie adalah dengan menunjukkan Notis Panggilan Kes daripada pihak mahkamah sekiranya terdapat sekatan jalan raya (SJR) oleh pihak berkuasa.

“Mahkamah syariah perlu melakukan sanitasi nyah cemar dalam semua dewan mahkamah, kaunter dan bangunan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast