Chua Wei Ming, penuntut UMP (kiri) bergambar bersama rakan senasib sepertinya dari UniSZA, Muhammad Al Jabbar, Azizana Safwan dan Mohd Ehsansyah

NILAI – Melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kampus pastinya pengalaman tidak ternilai buat para pelajar.

Ia pastinya lebih bermakna buat enam pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai menjadi tempat mereka  ‘menumpang kasih’ sepanjang PKP ini.

Bagi tiga orang pelajar UniSZA, sudah lebih sebulan mereka tinggal di kolej kediaman USIM sejak mereka terkandas separuh jalan untuk pulang ke Sabah.

Menurut Muhammad Al Jabbar Abd Muin, 25, penuntut Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, beliau dan dua lagi rakannya Mohamad Ehsansyah dan Azizana Safwan Arman masing-masing berusia 22 tahun segala-galanya bermula apabila penerbangan ke Sabah dibatalkan.

“Apabila kerajaan umumkan 18 Mac bermula PKP, kami dapat membeli tiket pulang ke Sabah untuk penerbangan pada 20 Mac. Pada hari kejadian, kami bertolak dari Kuala Terengganu menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sebelum terus ke KLIA2. Semasa di KLIA2 baru kami dapat tahu, penerbangan dibatalkan kerana mematuhi PKP”

“Waktu itu sudah malam dan kami tiada tempat untuk dituju. Saya menghubungi universiti memaklumkan masalah kami. UniSZA memaklumkan akan berhubung dengan USIM untuk memohon bantuan. Alhamdulillah, pada malam itu kakitangan dari USIM datang menjemput kami di KLIA2 dan menempatkan kami di Kolej Kediaman Acacia USIM,” katanya.

Kisah yang sama turut dilalui oleh siswa UMP, Chua Wei Ming, 23 yang tidak dapat pulang ke Sibu, Sarawak kerana penerbangan dibatalkan.

“Saya sudah berada di Kuala Lumpur apabila mengetahui jadual penerbangan saya pada 21 Mac dibatalkan. Apabila membuat rujukan di media sosial, harapan untuk pulang nampaknya sudah tertutup kerana kerajaan tidak membenarkan sebarang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah/Sarawak dan sebaliknya.

“Untuk pulang semula ke UMP akan hadapi banyak kesulitan, jadi saya menumpang sementara dirumah kenalan di Kuala Lumpur,” katanya.

Chua Wei Ming

Wei Ming kemudian menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMP dan beliau dimaklumkan USIM bersedia menawarkan kediamanya bagi memastikan kebajikan dan keselamatannya terjaga.

“Pada 30 Mac saya ke USIM dan ditempatkan sebilik bersama tiga orang penuntut UniSZA yang senasib seperti saya” ujar penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik ini.

Kisah yang sedikit berbeza bagi dua orang penuntut Pengurusan Pembangunan UUM, Alif Ikhwan Yusof, 25, dan Randy Kevin, 22, kerana mereka ditempatkan di USIM bagi mematuhi tempoh kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Kedua-duanya sedang mengikuti program mobility outbound di Universiti Yogyakarta, Indonesia sebelum diarahkan pulang segera ke Malaysia ekoran risiko penularan wabak COVID-19.

Menurut Alif, sebaik tiba di Malaysia mereka tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam untuk pulang ke rumah melainkan dijemput oleh ahli keluarga.

“Keluarga saya jauh di Kota Bharu, Kelantan manakala rakan saya, Randy pula keluarganya di Sandakan, Sabah. Kami diberi pilihan untuk menjalani kuarantin di universiti di sekitar Kuala Lumpur atau berdekatan dan memutuskan untuk menjalani kuarantin di USIM kerana lebih dekat,” katanya.

Kedua-duanya telah tinggal di USIM bermula 27 Mac hingga 23 April baru-baru ini sebelum dibenarkan pulang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia setelah ujian saringan COVID-19 mereka negatif.

Kesemua pelajar yang terlibat melahirkan rasa terima kasih kepada USIM kerana memberi perhatian serta layanan yang baik sepanjang menginap di situ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast