SERONOK sekali membaca dan menonton kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung dakwaan hangat mutakhir ini mengenai kurang “cinta dan kasihnya” kepada pelarian Rohingya.
Bagi lebih menyeronokkan keadaan, marilah pula kita melihat sembilan bukti betapa mendalam “cinta dan kasihnya” kerajaan PH kepada pelarian Rohingya yang telah ditunjukkan sewaktu memegang tampuk kuasa pemerintahan dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.
Bukti Pertama
Kepada soalan Wong Hon Wai (DAP–Parlimen Bukit Bendera), yang menanyakan apakah langkah berjaga-jaga diambil kerajaan PH untuk mengelakkan pelarian Rohingya daripada membanjiri sempadan darat dan maritim Malaysia? Timbalan Menteri Pertahanan kerajaan PH, Liew Chin Tong menjawab:
“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melalui Markas Wilayah Laut 3 yang berpangkalan di Langkawi dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan operasi bagi memantau kemasukan pelarian Rohingya ke perairan negara. Di samping itu kerjasama perisikan dengan tentera laut Thailand juga diwujudkan bagi tujuan perkongsian maklumat.”
Bukit Kedua
Kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas–Parlimen Sik), yang meminta supaya kerajaan PH menyatakan apakah perancangannya untuk menyelesaikan masalah pendaftaran pelarian Rohingya yang diselia oleh UNHCR ketika itu? Timbalan Perdana Menteri kerajaan PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjawab:
“Kerajaan telah berunding dengan UNHCR untuk menempatkan pegawai polis dan Jabatan Imigresen (JIM) dalam proses Refugee Status Determination yang dijalankan oleh pihak UNHCR. Namun, rundingan tersebut belum dapat dimuktamadkan.”
Bukti Ketiga
Kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Parlimen Sik), yang menanyakan apakah kerajaan PH bersedia untuk mewujudkan satu unit yang rasmi atau khas untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan UNHCR dalam proses pendaftaran pelarian? Timbalan Perdana Menteri kerajaan PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjawab:
“Satu jawatankuasa belum lagi ditubuhkan.”
Bukti Keempat
Kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Parlimen Sik), yang menanyakan apakah kerajaan PH bersedia untuk menjadikan pelarian Rohingya sebagai pekerja asing yang didaftarkan secara sah? Timbalan Perdana Menteri kerajaan PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjawab:
“Kita tidak mahu menjejaskan kepentingan rakyat sendiri dalam negara supaya kita pelihara peluang pekerjaan untuk rakyat sendiri pun.”
Bukit Kelima
Kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Parlimen Sik), yang menanyakan apakah kerajaan PH melihat bahawa pelarian yang ada di negara kita berpotensi untuk menjadi tenaga buruh? Menteri Sumber Manusia kerajaan PH, M. Kulasegaran menjawab:
“Pada setakat ini tidak ada dasar-dasar yang tertentu untuk menolong pelarian untuk mendapat kerja di negara ini.”
Bukit Keenam
Kepada soalan Che Alias Hamid (Pas-Parlimen Kemaman), yang menanyakan apakah kerajaan PH berhasrat untuk memperluaskan Program Food Bank Malaysia kepada pelarian daripada negara luar? Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerajaan PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjawab:
“Fokus kita masih lagi kepada anak-anak tempatan kita yang masih lagi ramai belum kami dekati, sementara kami hargai usaha oleh kalangan NGO yang lain yang menjadikan pelarian sebagai sasaran. Kami anggap memadai dulu usaha itu dipikul oleh NGO.”
Bukti Ketujuh
Kepada cadangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Parlimen Kubang Kerian) supaya kerajaan PH mengecualikan pelarian yang memegang kad UNHCR daripada membayar caj vaksin, Menteri Kesihatan kerajaan PH, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjawab:
“Dari segi kad pemegang UNHCR itu, Malaysia adalah antara yang belum lagi meratifikasi dan mengiktiraf mereka sebagai refugees. Dengan kata lain, mereka terpaksa juga dikenakan caj.”
Bukti Kelapan
Kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Parlimen Sik) yang menanyakan apakah kerajaan PH merancang untuk membuka hospital medan bagi membantu pelarian Rohingya yang berada di Rakhine State itu sendiri? Timbalan Menteri Pertahanan kerajaan PH, Liew Chin Tong menjawab:
“Kementerian tidak ada rancangan untuk membuka hospital medan di Rakhine State.”
Bukti Kesembilan
Paling menarik, Shaharizukirnain Abd. Kadir (Pas-Parlimen Setiu) pernah menanyakan sejauhmanakah perkembangan proses meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah PBB dalam usaha menangani krisis pelarian khususnya Rohingya kerana beliau yakin dan percaya hanya melalui langkah ini pelarian Rohingya akan dapat dibantu dalam bidang kesihatan, pendidikan, latihan vokasional dan pekerjaan, sekali gus mampu mengelak pelbagai kes jenayah yang terpaksa dilakukan oleh mereka bagi menampung kehidupan seharian mereka.
Sehingga ke tarikh jatuhnya kerajaan PH pada 24 Februari 2020 sekalipun, soalan ini tidak mampu dijawab oleh mana-mana pemimpin kerajaan PH kerana ia tidak pernah cuba dilaksanakan walaupun;
Dalam Janji 59 (muka surat 152) Manifesto PRU 14 PH jelas terpampang janji PH bahawa: “Kerajaan PH akan meratifkasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian 1951 agar pelarian yang datang ke Malaysia untuk menyelamatkan diri dapat diberi bantuan sewajarnya.”
Dalam Janji 35 (muka surat 99) Manifesto PRU 14 PH jelas terpampang janji PH bahawa: “Kerajaan PH akan mengabsahkan status lebih dari 150,000 orang pelarian yang mempunyai kad UNHCR sebagai pelarian dan memberi kebenaran untuk mereka bekerja.”
Begitulah sembilan bukti betapa mendalam “cinta dan kasihnya” kerajaan PH kepada pelarian Rohingya. – MalaysiaGazette
Dr. Kamarul Zaman Yusof adalah penganalisis politik dan merupakan bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia di Universiti Utara Malaysia.