Dr. Adham Baba (kiri) menerima sumbangan penutup hidung dan mulut serta air mineral bernilai RM60,000 daripada Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Universiti Limkokwing Raja Aznil Raja Hisham pada Majlis Penyerahan Sumbangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

CYBERJAYA – Prihatin terhadap petugas barisan hadapan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19, Universiti Limkokwing melalui kempen global Heal The World dan tanggungjawab sosial korporatnya telah menyumbang RM60,000 bagi membantu pasukan itu.

Universiti itu dalam satu kenyataan berkata, sumbangan berupa penutup hidung dan mulut serta air mineral bernilai RM60,000 dari universiti itu sebagai sokongan kepada kerajaan dan golongan yang berkorban demi negara.

Jelas kenyataan itu, rakyat Malaysia sememangnya bersifat prihatin dan ini terbukti apabila semakin ramai pihak daripada sektor korporat tampil menghulurkan sumbangan dalam usaha membantu petugas barisan hadapan dan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19.

“Usaha itu juga selari peranan Universiti Limkokwing yang mahukan dunia selamat untuk didiami bagi generasi pada masa depan. Kami menyokong penuh usaha kerajaan memerangi Covid-19 hingga ke akhirnya dan hari ini kami telah menyumbang penutup hidung dan mulut serta air, mineral water bernilai RM60,000 bagi membantu petugas barisan hadapan Malaysia.

“Kami mahu menyumbang dalam apa cara sekalipun bagi mengurangkan kesan pandemik ini dan juga menunjukkan penghargaan kepada keberanian petugas barisan hadapan yang telah berkorban, berdedikasi dan sumbangan mereka ketika Malaysia dalam keadaan memerlukan,” kata kenyataan yang sama.

Majlis penyerahan bantuan telah disampaikan oleh Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pada satu majlis ringkas di bangunan KKM, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Presiden Pembangunan Korporat Universiti Limkokwing, Datuk Gandesan Letchumanan.

Jelas kenyataan itu lagi, inisiatif tersebut adalah sumbangan kecil dari pihak Universiti Limkokwing dan Presidennya, Prof. Tan Sri Dr. Lim Kok Wing yang tampil bagi membantu meringankan beban petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

“Warga pendidik dan pelajar Universiti Limkokwing turut berasa terpanggil menghulurkan bantuan yang terdaya selepas melihat pengorbanan dan kerja keras petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.

“Ini penghargaan kami sebagai rakyat. Terima kasih juga kepada semua pensyarah dan pelajar yang menyokong usaha bagi tujuan ini,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, misi dan kempen kemanusiaan Keamanan Global menjadi aspirasi pengasas universiti itu sejak 50 tahun lalu, Lim Kok Wing melalui Yayasan Limkokwing memainkan peranan mengalakkan pendidikan keamanan dalam kalangan masyarakat untuk mengubah dunia dengan budaya sihat dan aman dan sejahtera.

“Kami telah mengerakkan kempen Heal The World sejak untuk mengurangkan penderitaan di negara-negara yang di landa peperangan dan bencana alam seperti di Palestin, Haiti, Pakistan dan Filipina.

“Limkokwing juga terlibat dengan kempen membantu pilihan raya Afrika Selatan, Pemimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), Nelson Mandela Kempen Berhenti Ebola dan Kempen Kemanusian Tabung Dana Bosnia-Herzegovina,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette