Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1, 2 dan 3 dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing berkuatkuasa esok.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali berkata, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pagi ini mengambil keputusan tersebut setelah menyedari keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa.

“Pihak syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI (Kementerian) Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mendapatkan kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat itu turut meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan turut membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.

Perbincangan tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan.

Menurut Mohamed Azmin, inisiatif itu akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

Tambah beliau, ia akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Mohamed Azmin, syarikat terbabit wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing.

Katanya, kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette