KUALA LUMPUR – Penyertaan tenaga buruh Malaysia meningkat 2.0 peratus kepada 15.6 juta orang pada 2019 berbanding 15.3 juta orang pada 2018.

Penduduk bekerja meningkat seramai 297.4 ribu orang pada 2019, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada 2019 meningkat 0.4 mata peratus kepada 68.7 peratus berbanding 68.3 peratus pada 2018.

Oleh itu, penduduk dalam kumpulan umur bekerja berada di luar tenaga buruh ialah sebanyak 31.3 peratus manakala kadar pengangguran pada 2019 kekal pada 3.3 peratus.

“Kadar pengangguran 2019 tidak dipengaruhi oleh impak negatif yang disebabkan oleh penularan wabak Covid-19.

”Pada Januari 2020 kadar pengangguran adalah 3.2 peratus dan meningkat kepada 3.3 peratus pada Februari 2020.

”Kadar pengangguran bulan Mac 2020 akan diterbitkan pada 8 Mei 2020,” katanya.

Kesan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan akibat penularan wabak Covid-19 yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 11 Mac lalu dijangka dapat dilihat pada indikator tenaga buruh Mac 2020 dan keseluruhan tahun 2020.

Sementara itu, KPTB perempuan naik 0.4 mata peratus kepada 55.6 peratus pada 2019 dengan penyertaan perempuan dalam pasaran buruh bagi kumpulan umur prime age iaitu 25 hingga 34 tahun (73.7%), 35 hingga 44 tahun (68.0%) dan 45 hingga 54 tahun (58.9%) adalah lebih tinggi berbanding KPTB perempuan di peringkat nasional.

KPTB bagi lelaki pula ialah 80.8 peratus pada 2019, meningkat 0.4 mata peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, KPTB kumpulan umur 15 hingga 24 tahun mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 2.2 mata peratus kepada 53.2 peratus.

Begitu juga kumpulan umur 25 hingga 34 tahun meningkat 0.4 mata peratus kepada 96.1 peratus.

Secara keseluruhannya, KPTB lelaki masih lebih tinggi berbanding perempuan bagi semua kumpulan umur.

Sementara itu, penduduk bekerja berpendidikan tertiari pada 2019 meningkat 0.8 mata peratus kepada 29.4 peratus berbanding 28.6 peratus pada tahun sebelumnya, manakala penduduk bekerja dengan pendidikan rendah menyusut
1.0 mata peratus. – MalaysiaGazette