Tee Ching Seng

KUALA LUMPUR – Peringatan yang dikeluarkan oleh Anthony Loke kepada semua Ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan (PH) agar hadir pada sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini telah menimbulkan persoalan.

Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng berkata, bukankah kehadiran setiap Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat adalah satu tanggungjawab mereka.

”Adakah peringatan Loke dibuat kerana ramai lagi Ahli Parlimen PH masih tidak bertaubat dan masih mahu ponteng?

”Sebagai wakil rakyat adalah tanggungjawab mereka hadir sidang Parlimen untuk menyuarakan kehendak penduduk dari kawasan masing-masing.

”Tetapi, jika kehadiran hanya didorong atas faktor “tidak mahu kehilangan kerusi”, maka mereka tidak layak diberi mandat rakyat,” katanya.

Tee berkata, adalah amat mengecewakan sekiranya masih ada Ahli Parlimen yang memerlukan “peringatan” untuk hadir ke sidang Dewan Rakyat, seperti budak-budak sekolah.

Tindak-tanduk ini juga mendedahkan kualiti dan keikhlasan wakil rakyat dari PH.

Tee tidak menolak kehadiran Ahli-Ahli Parlimen pembangkang pada 18 Mei ini akan mencapai rekod tertinggi sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 susulan peringatan yang dibuat oleh Loke.

Malah, cadangan Lim Kit Siang supaya Parlimen mengadakan sidang tergempar Parlimen turut menarik kehadiran Ahli-Ahli Parlimen PH untuk datang.

” Namun, jangan sesekali kehadiran mereka dibuat semata-mata untuk mengekalkan kerusi masing-masing dan bukannya untuk menjadi suara rakyat,” ujarnya.

Sepanjang tempoh 22 bulan PH mentadbir, kadar kehadiran Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen PH amat mengecewakan.

Sehingga ke satu peringkat beberapa kali sidang Parlimen terpaksa ditangguh kerana tidak cukup korum.

Apabila ditegur, alasan yang diberi pula adalah Dewan Rakyat terlalu sejuk atau ahli Parlimen terlalu penat.

Bagaimanapun, kata Tee, sepanjang negara dalam tempoh krisis ini, Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak terhenti-henti menggesa sebuah sidang tergempar Parlimen diadakan.

”Ini membuktikan PH hanya mengutamakan agenda politik peribadi dan kepentingan rakyat pula dibelakangkan,” katanya. – MalaysiaGazette