Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerima sumbangan dari Pengerusi Yayasan Nurjiwa (YNJ), Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Menteri Kesihatan Malaysia Siri ke-5 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Penyanyi nombor satu tanahair, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin hari ini menyampaikan sumbangan 2,000 helai pakaian perlindungan diri (PPE) untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan.

Sumbangan yang dikutip menerusi Tabung Dana Siti Nurhaliza Prihatin itu diberikan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketika ditemui MalaysiaGazette pada majlis penyerahan tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu Purnama Merindu itu memberitahu, sumbangan tersebut diterima daripada peminat-peminatnya yang mahu turut sama menghargai bakti petugas-petugas di barisan hadapan.

Katanya, setakat ini jumlah kutipan yang diterima daripada tabung dana itu berjumlah RM170,000 dan sebanyak RM66,000 dibelanjakan untuk membeli pakaian berkenaan.

 Dr. Adham Baba menerima sumbangan dari Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Menteri Kesihatan Malaysia Siri ke-5 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

“Alhamdulillah, ini satu penghargaaan yang sangat tinggi daripada saya kepada semua peminat yang sama-sama menderma di tabung yang saya wujudkan,” katanya.

Siti Nurhaliza berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk memberi sumbangan berkenaan melalui kutipan daripada tabung itu selagi Perintah Kawalan Pergerakan belum ditamatkan.

Katanya, sebelum ini beliau menyasarkan kutipan sebanyak RM300,000 dari tabung tersebut untuk tempoh kutipan selama sebulan.

Dalam pada itu Siti menjelaskan, sebelum ini beliau telah menyerahkan sumbangan 500 helai PPE kepada Institut Jantung Negara dan Pusat Darah Negara.

Pada majlis itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sumbangan bagi memerangi wabak Covid-19 berjumlah RM9.44 juta.

Derma berupa aset dan wang tunai itu disumbangkan oleh 14 syarikat korporat dan organisasi.

Dr. Adham Baba menerima sumbangan dari Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Mahmood Abdul Razak pada Majlis Penyampaian Sumbangan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Menteri Kesihatan Malaysia Siri ke-5 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

Antara syarikat yang menyumbang ialah Kumpulan Geely DRB-Hicom, berjumlah RM5.5 juta, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM160,000, Yayasan Nurjiwa (YNJ) RM66,000.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu Timbalan Menteri I, Dr Noor Azmi Ghazali, dan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. – MalaysiaGazette