Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 55, dilihat mengelap anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, menggunakan kain basah yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Kisah Rosnah Abd. Walad yang menjaga suami lumpuh sejak 12 tahun lalu dan anak cacat sejak lahir yang kini berusia 24 tahun mendapat perhatian pelbagai pihak.

Sejak semalam, wanita berusia 55 tahun itu dan keluarganya menerima pelbagai bantuan yang bertalu-talu sama ada daripada individu dan syarikat korporat.

Suri rumah itu yang melahirkan rasa syukur itu memberitahu, dia terharu dengan keprihatinan masyarakat membantu keluarganya sejak kisah pengorbananya dilaporkan oleh MalaysiaGazette

“Terima kasih semua yang memberi sumbangan sama ada melalui akaun bank dan keperluan barang dapur.

“Wang yang saya terima akan diutamakan untuk keperluan suami dan anak pada masa akan datang. Insya-Allah saya akan memanfaat sumbangan orang ramai ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 55, bercakap semasa ditemubual mengenai anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

Kelmarin, MalaysiaGazette melaporkan kisah Rosnah yang menguruskan suami, Zainal Abidin Mohd. Said, 56, dan Nabil Najmil, 24, yang hanya terlantar di rumah yang disewa mereka dengan bayaran RM124 sebulan di PPR Pinggiran Bukit Jalil di sini.

Ketabahan beliau yang memapah dan mengangkat suami dan anaknya untuk bergerak ke mana-mana cukup membuktikan pengorbanan luar biasa yang dimilikinya selama ini.

Tanpa mengharapkan wang pencen, wanita yang memiliki dua cucu itu turut mencari pendapatan tambahan dengan mencuci rumah orang dengan bayaran RM50 dengan membawa Nabil bersama.

Ketika ini, Rosnah mendapat bantuan RM250 sebulan dan bantuan lampin pakai buang daripada Baitulmal selain bantuan OKU terlantar sebanyak RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, anak sulungnya yang berusia 31 sudah berkahwin dan tinggal di rumah sendiri manakala anak kedua menetap bersama namun tidak dapat bekerja sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut membantu untuk urusan pergi ke hospital. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ujian ini tanda Allah sayang – Rosnah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast