Perlumbaan Formula 1 musim ini akan bermula di Austria.

LONDON – Sukan permotoran, Formula Satu (F1) sedang merangka rancangan mewujudkan persekitaran isolasi untuk setiap pelumba apabila perlumbaan disambung pada 1 Julai ini.

Pengarah Urusan F1, Ross Brawn berkata, mengambil kira situasi wabak Covid-19, mereka sedang mengusahakan ‘suasana biosfera’ yang mana pasukan dan pemandu akan terlibat dalam perlumbaan tanpa penonton.

F1 merancang untuk menyambung semula perlumbaan di Austria pada 5 dan 12 Julai ini.

“Kami sedang mengusahakan pelan mengikut peraturan dan spesifikasi kesihatan yang ditetapkan untuk menjamin persekitaran yang selamat untuk pelumba dan anggota pasukan di atas litar perlumbaan nanti,” kata Brawn.

Brawn menambah, menyambung semula musim F1 yang tergantung sejak Mac akibat Covid-19 adalah cabaran besar daripada aspek logistik.

Bagaimanapun, katanya, kesemua perkara itu akan dilaksanakan secara teratur dan selamat tanpa sebarang risiko keselamatan dan kesihatan.

“Malangnya perlumbaan yang akan disambung nanti terpaksa dilakukan tanpa penonton dan kami perlu akur dengan situasi itu dengan mengambil kira situasi semasa wabak ini di seluruh dunia.

“Namun kami yakin masih mampu membawakan perlumbaan itu kepada jutaan peminat kami di seluruh dunia menerusi media dan penyiaran di televisyen apabila jutaan peminat kami terpaksa ‘berkabung’ dengan kuarantin diri dalam rumah masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast