Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, terdapat banyak tumpuan diberikan terhadap kesihatan mental. Laporan akhbar pula banyak menceritakan kejadian menyayat hati yang berlaku dalam
kalangan masyarakat Malaysia terutamanya kanak-kanak yang sering menjadi mangsa bunuh, penderaan, rogol dan pelbagai lagi bentuk kekejaman. Punca sebenar berlakunya kejadian sedemikian ialah tahap kesihatan mental yang lemah, pengurusan emosi dan kawalan pemikiran yang terlalu rendah. Oleh itu, kesedaran terhadap penyakit mental, kepentingan memelihara tahap kesihatan mental yang baik dan mengenal pasti gejala-
gejala masalah kesihatan mental perlu ditingkatkan. Kesedaran mendapatkan rawatan awal serta keperluan mewujdukan sistem sokongan dalam masyarakat juga amat penting dan penyakit ini amat memerlukan intervensi dan rawatan. Tiada rawatan ubatan diperlukan untuk kesihatan mental yang terjejas. Walau bagaimanapun, langkah pencegahan perlu dilakukan agar ia tidak berkembang menjadi penyakit mental.

Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Ini bermaksud, kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara effektif. Kesihatan mental adalah ekspresi emosi dan melambangkan
keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.

Siti Fatimah

Tanda dan Gejala
Gejala dan tanda-tanda kesihatan mental yang terjejas boleh timbul akibat dari tekanan secara fizikal, sosial dan persekitaran. Ia terjadi apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri atau menangani tekanan. Ia boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan boleh menjadi di luar kawalan. Ini akan menyebabkan keadaan fizikal dan emosi seseorang itu terjejas. Gangguan dalam bentuk fizikal dan emosi menghalang kefungsian diri seseorang individu dan ianya boleh nampak dari segi luaran. Namun bagi gangguan emosi yang sederhana, kemungkinan besar ia gagal dilihat secara mata kasar. Keadaan ini, jika tidak dikawal dan dirawat secara persendirian, boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk. Rawatan awal boleh bermula dengan wujudnya kesedaran dan keinginan untuk memulihkan diri, oleh itu, adalah penting bagi setiap individu itu sendiri atau orang di sekeliling terumatanya yang terdekat untuk mengetahui tanda dan gela yang ditunjukkan walaupun tidak menyeluruh.

Terdapat tiga bahagian utama yang mungkin terjejas adalah:
1. Fisiologikal: Ia menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mendapat atau memburukkan lagi penyakit fizikal seperti penyakit jantung dan darah tinggi, menyebabkan sakit kepala dan kesakitan otot.
2. Tingkah laku: Prestasi kerja mungkin menurun, cenderung untuk mengalami kemalangan, tidak hadir bertugas, bertindak agresif dan mudah marah, sukar membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
3. Psikologi: Timbul rasa tidak puas hati, mudah terasa, murung dan berasa penat secara emosi. Antara gejala biasa yang menunjukkan kesihatan mental terjejas adalah panas baran, sukar tidur, hilang selera makan, turun berat badan, gemuruh,
berdebar-debar dan tidak bersemangat.

Kegagalan seseorang individu untuk mengendalikan tekanan hidup boleh mengakibatkan kemurungan yang akhirnya mungkin mendapat penyakit mental. Tekanan hidup boleh berpunca daripada empat (4) dimensi utama dalam kehidupan iaitu psikologi, emosi, fizikal, spiritual dan sosial. Psikologi meliputi pengurusan diri dalam aspek keperluan dan kehendak. Jika seseorang individu tidak berupaya mengimbangi keperluan dan kehendak dalam kehidupan, mereka cenderung untuk merasa terdesak, tertekan, dan tidak bersemangat. Situasi ini tanpa disedari telah mempengaruhi emosi menjadi negatif dan
seterusnya menghasilkan tingkah laku yang kurang sesuai. Spiritual dan sosial pula merupakan keupayaan individu untuk berhubung dengan persekitaran dan berfungsi sebagai individu yang bermanfaat. Sekiranya individu yang mempunyai gangguan emosi tidak disantuni, maka kesan buruknya ialah pada persepsi dan sistem kepercayaan dalam dirinya. Keadaan ini mungkin menyebabkan mereka berfikir secara tidak rasional dan mengambil tindakan yang terburu-buru atau di luar kawalan.

Terdapat kaitan yang jelas di antara tekanan hidup dan penyakit mental. Risiko untuk penyakit mental adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental,faktor psikologi dan masalah personaliti tertentu , ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak dan keabnormalan otak. Seseorang individu itu akhirnya berpotensi mendapat penyakit seperti kemurungan, penyakit Bipolar dan Skizofrenia.

Pencegahan
Untuk individu, antara langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah memperbaiki strategi menangani masalah, mengukuhkan sokongan sosial dan mengamalkan gaya hidup sihat. Pada peringkat yang lebih besar, penekanan perlu diberikan kepada promosi kesihatan mental. Promosi kesihatan mental memerlukan penglibatan pelbagai pihak seperi sektor kerajaan, swasta dan organisasi komuniti.Tumpuan harus diberikan kepada promosi kesihatan mental sepanjang hayat iaitu dari peringkat kanak-kanak lagi. Ini adalah untuk mencegah penyakit mental daripada berlaku ketika peringkat dewasa dan warga tua.

Program di bawah mungkin berfaedah iaitu:
1. Intervensi awal kanak-kanak. Kaedah ini boleh dilakukan seawal tempoh mengandung lagi di mana ibu mendapatkan nutrisi yang cukup, menjaga pemakanan serta mendapatkan sokongan emosi yang bermanfaat. Selain itu, sokongan
kewangan dan pengetahuan keibubapaan juga amat penting dalam menyokong tahap intervensi awal kanak-kanak.2. Aktiviti sokongan kepada remaja boleh dilaksanakan di rumah dan di peringkat sekolah. Kesedaran dan pengetahuan tentang kesihatan mental, penglibatan aktiviti riadah yang sihat serta pengukuhan ilmu kerohanian perlu diselaraskan. Remaja ada
golongan yang masih mencari identiti diri dan ketika inilah mereka mudah terpengaruh dengan perkara yang berlaku di persekitaran. Maka adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak remaja bermula dari rumah.
3. Sistem sokongan dan kebajikan kepada wanita dan ibu tunggal. Pelbagai usaha perlu dilakukan dalam usaha menjaga kebajikan wanita sama ada yang bekerja atau suri rumah sepenuh masa. Program pengukuhan ekonomi golongan wanita perlu diberi keutamaan. Contohnya, memudahkan laluan pendidikan serta sistem mikro-kredit seperti Industri Kecil dan sederhana (IKS), Amanah Ikhtiar Malaysia dan seumpamanya. Selain itu, sokongan sosial untuk warga emas juga mat penting selain bantuan kewangan tetapi juga sokongan emosi. Bagi mereka yang menjaga ibu bapa yang suidah lewat usia, maka kemahiran penjagaan warga emas serta pengurusan emosi sendiri adalah amat penting untuk dipelajari.selain itu, pusat
komuniti dan jagaan harian juga perlu memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada warga emas.
4. Kempen dan promosi kesihatan mental secara menyeluruh di peringkat sekolah, komuniti dan negara. Ianya perlu dilakukan secara berterusan tanpa gagal bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mental. Program menangani masalah dan krisis dalam kalangan murid sekolah juga perlu dilalukan secara sistematik dan berhikmah.
5. Íntervensi kesihatan mental di tempat kerja seperti penganjuran program-program berkaitan pemikiran, perasan dan pembentukan tingkah laku yang berkesan. Kaedah penganjuran program juga perlu pelbagai bagi manrik lebih ramai pekerja
menyertainya untuk pencarian ilmu bukan hanya mencukupkan keperluan latihan tahunan.

Tahukah anda faktor yang boleh mempengaruhi kesihatan mental? Apakah sebenarnya yang boleh mempengaruhi kesihatan mental kita? Sebenarnya ia sangat banyak dan perkara biasa di dalam kehidupan harian. Secara amnya:
 biologikal, seperti genetik. Namun, tidak semestinya jika seseorang itu mempunyai ahli keluarga yang bermasalah, semua orang di dalam keluarganya juga bermasalah.
 persekitaran. Sama ada pra sekolah, sekolah, universiti, tempat kerja mahupun laman sosial. Kejadian seperti buli, stress, tekanan juga boleh memberi kesan yang buruk terhadap kesihatan mental.
 amalan harian. Makanan yang tidak berkhasiat, tidak mengamalkan kehidupan yang aktif juga boleh menjadi salah satu faktor masalah kesihatan mental.

Antara simptom awal kita boleh mengesan yang kita atau orang sekeliling kita perlu dapatkan bantuan ialah:
 Perubahan selera makan yang mendadak (terlalu banyak atau terlalu sedikit)
 Menjauhi orang ramai atau lebih gemar bersendirian
 Kerap rasa lesu dan tidak bermaya
 Tidak fokus dalam pekerjaan
 Mula menghisap rokok, minum minuman beralkohol atau mengambil dadah
 Sering termenung, tidak fokus dan rasa marah
 Perubahan mood yang kerap dan mendadak
 Rasa tiada harapan dan putus asa
 Menyalahkan takdir dan membandingkan diri dengan orang lain
 Sering sakit atau mendapatkan cuti sakit dengan pelbagai alasan
 Rasa ingin mencederakan diri sendiri atau orang lain
 Tidak dapat melakukan tugas harian seperti biasa
Bantuan

Sebenarnya, mendapatkan bantuan adalah normal dan penting. Perkhidmatan kaunseling secara professional sama ada percuma ataupun berbayar adalah satu kaedah perawatan yang paling awal dalam membantu individu mengenal pasti tahap  kesejahteraan emosi serta sumber sokongan moral dan spiritual. Stigma masyarakat tentang perkhidmatan kaunseling hanya untuk mereka yang bermasalah adalah sesuatu yang sangat tidak bermanfaat. Perlu disedari bahawa perkhidmatan kaunseling itu sendiri mempunyai tiga aspek utama iaitu perkembangan, pemulihan dan pencegahan. Bagi mereka yang memerlukan sokongan dan maklumat tentang diri serta isu yang dialami, fokus bantuan daripada kaunselor ialah berbentuk perkembangan. Manakala, mereka yang mempunyai kesedaran untuk melindungi diri dari perkara-perkara yang tidak baik atau ingin memperbaiki persekitaran sosialnya perlu dibantu untuk aspek pencegahan. Akhir sekali, bagi mereka yang sedang bermasalah, buntu atau memerlukan strategi penyelesaian, maka bantuan yang diberikan bersifat pemulihan. Maka jelas di sini, perkhidmatan kaunseling adalah sesuai untuk semua orang.
Kita harus membuang salah faham yang mendapatkan bantuan untuk kesihatan mental adalah untuk orang 'gila', 'tidak waras' atau bermasalah. Perlukah kita percaya kepada stigma negatif dan beranggapan sesi kaunseling hanyalah untuk mereka yang bermasalah?

Sebenarnya, terdapat banyak pilihan bantuan yang kita boleh dapatkan. Namun, sebelum mula sebarang sesi dengan sesuatu tempat, pastikan mereka:
 Mempunyai ahli psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor yang profesional dan diiktiraf.
Lihat kelayakan dan latihan yang mereka pernah dapatkan sama ada dari institusi yang diiktiraf atau bukan.
 Semak jika mereka berdaftar dengan mana-mana badan kerajaan seperti Lembaga Kaunselor Malaysia yang memberi lesen kepada kaunselor.
 Pengamal yang diiktiraf selalunya bekerjasama dengan organisasi yang profesional dan telah diakreditasikan di dalam komuniti.

Kesimpulannya, masalah kesihatan mental tidak mengenal peringkat usia, jantina, jenis pekerjaan mahupun status sosial. Jika seseorang individu gagal dalam mengawal pemikiran,
perasaan dan persekitarannya, maka gangguan mental boleh berlaku di luar jangkaan. Namun, ianya boleh ditangani dan dicegah bersesuaian dengan kaedah. Mendapatkan bantuan adalah inisiatif terbaik dan permulaan bijak dalam menangani masalah atau gangguan kesihatan mental. Solusi ini bukanlah sesuatu yang salah atau teruk serta memalukan. Ia merupakan satu keperluan untuk kekal sihat dan sejahtera emosi dan
mental. Lakukan pemeriksaan dengan berjumpa doktor dan mendapatkan pemeriksaan rutin.

Siti Fatimah

Oleh: Siti Fatimah Abdul Ghani KB,PA
Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast