Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tabung Haji akan membuka pejabat-pejabat cawangannya secara berperingkat mulai esok.

Waktu operasi adalah dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata, perkhidmatan yang disediakan untuk pendeposit adalah terhad kepada urusan pembukaan  akaun, aktiviti simpanan dan pengeluaran, mengemas kini akaun dan pendaftaran haji.

Manakala, semua urusan pengendalian haji (menerima tawaran tunai haji dan penyerahan pasport) ditangguhkan buat sementara waktu sehingga TH memperolehi  keputusan rasmi berkaitan status Musim Haji 1441H/2020 daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan sentiasa terjaga, TH akan menjalankan proses saringan suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) untuk pendeposit yang hadir untuk berurusan di pejabat cawangan TH.

“Pendeposit juga dinasihatkan untuk memakai penutup muka dan menjaga penjarakan sosial semasa berurusan.

“Bilangan pendeposit di dalam cawangan akan dihadkan bagi memastikan jarak sosial yang efektif,” katanya.- MalaysiaGazette