Majls Dakwah Negara menggesa kerajaan membenarkansolat Jumatat dan solat hari raya di masjid-masjid utama. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Dakwa Negara (MDN) menggesa kerajaan supaya membenarkan solat Jumaat dan solat hari raya diadakan di masjid-masjid utama di seluruh negara mengikut  syarat-syarat penjarakan sosial yang dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi MDN, Prof. Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majib berkata, gesaan itu dibuat setelah mengambil kira kedudukan kedua-kedua tuntutan agama tersebut merupakan syiar Islam yang tidak boleh diabaikan dalam tempoh yang lama.

Katanya, bagi menjamin kelonggaran tersebut tidak bertentangan PKPB, Dewan Tertinggi MDN yang bermesyuarat hari ini menyarankan kebenaran tersebut hanya diberikan kepada masjid-masjid utama seperti masjid negeri dan daerah yang memenuhi syarat.

MDN, juga, menurut Mahmood Zuhdi menyarankan supaa solat Jumaat dan solat hari raya disertai 50 jemaah sahaja terdiri daripada mereka yang benar-benar dikenali oleh pihak pentadbiran masjid dan memenuhi syarat-syarat kesihatan yang membolehkan mereka berada dalam sesuatu perhimpunan yang terkawal.

“Sebagaimana maklum, mengikuti mazhab rasmi dalam negara ini, iaitu Mazhab Syafi’i sekurang-kurang bilangan yang sah bagi solat Jumaat ialan 40 orang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangulas lanjut, katanya, perhimpunan untuk solat Jumaat dan silat hari raya itu tertakluk kepada semua syarat kesihatan dan keselamatan sosial seperti mana yang dikenakan ke atas sektor lain yang menerima faedah daripada syarat-syarat PKPB.

Menurut beliau, MDN sememangnya menyokong keputusan kerajaan memperkenalkan  PKPB sebagai ganti kepada Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dalam melaksanakan dasar penjarakan sosial bagi mengatasi wabak COVID – 19 yang melanda negara.

Katanya, di bawah perintah baharu itu berbagai kelonggaran telah diberikan terutama sekali bagi mengatasi kesan buruk dasar penjarakan sosial terhadap perkembangan ekonomi negara.

“MDN juga berpendapat bahawa pengimbangan antara objektif kesihatan masyarakat dan kepentingan ekonomi negara merupakan satu kebijaksanaan yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh kerajaan dalam menyelesaikan wabak COVID – 19 yang mengancam kesejahteraan hidup masyarakat sekarang.

“Bagi menyempurnakan lagi kebijaksanaan tersebut, MDN berpendapat objektif ibadat juga perlu diambil kira bagi mengatasi kesan gugatan psikologi dan spiritual oleh dasar penjarakan sosial yang diperkenalkan sebelum ini tidak kurang seriusnya terhadap kesejahteraan rakyat dan negara.” katanya. – MalaysiaGazette