Prof. Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan supaya mengekalkan sikap orang Timur yang terkenal dengan kolektivisme ketika negara masih berdepan dengan wabak Covid-19.

Kolektivisme adalah sikap atau pegangan hidup yang mementingkan masyarakat terbanyak dalam semua aspek kehidupan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, jika kolektivisme menjadi teras amalan rakyat negara ini, ia lebih memudahkan Kementerian Kesihatan dan barisan hadapan membendung wabak virus tersebut.

Beliau yang gusar dengan sikap rakyat Malaysia yang masih keluar rumah dan tidak mengamalkan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan menegaskan tindak-tanduk itu langsung tidak membantu kerajaan dan orang lain.

“Saya bimbang melihat ada segelintir masyarakat Malaysia yang terlalu individulistik, tidak pentingkan orang lain. Keluar rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan sedikit, 20,000 lebih.

”Apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan PErgerakan Bersyarat pula, pun ada yang tidak mematuhi SOP.

“Janganlah ambil mudah semua perkara kerana kita masih hidup dalam masyarakat. Kita perlu ada rasa tanggungjawab menjaga keselamatan sesama kita.

“Mana sikap tradisional masyarakat Malaysia yang kolektif dalam segala hal. Sepatutnya sikap itu diwarisi kerana ia perkara baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas mengenai perkara itu, Teo tidak menolak perubahan sikap individulistik ini seiring dengan kemodenan dan globalisasi.

Fenomena ini menjadikan dunia kelihatan kecil dari aspek perhubungan manusia disebabkan kepantasan teknologi.

Namun begitu, katanya, perubahan itu terpulang kepada individu – sama ada untuk menolak atau menerimanya.

“Tetapi apabila negara berada dalam krisis, kerajaan atau pemerintah tidak dapat melakukan terbaik tanpa kerjasama rakyat, justeru kerjasama kolektivisme dituntut.

”Kena ada tolak ansur antara kita dan masyarakat, apatah lagi dalam keadaan krisis wabak. Ia tidak pernah berlaku dan melanda seluruh dunia.

”Kalau majoriti tidak mahu bekerjasama, saya khuatir usaha sekarang yang dilakukan kerajaan akan menjadi sia-sia sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette