Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Semua kontraktor yang akan memulakan semula operasi dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pematuhan SOP berkenaan penting bagi menjamin keselamatan pekerja dan mengelak penularan jangkitan Covid-19 di tapak pembinaan serta kawasan persekitarannya.

SOP berkenaan termasuklah dengan memastikan semua pekerja warga asing dihantar untuk menjalani ujian saringan dan disahkan bebas daripada jangkitan sebelum boleh mula bekerja.

Semua pekerja terbabit perlu diperiksa dan direkodkan suhu mereka sebelum masuk ke tapak pembinaan setiap hari dan apa juga gejala yang dikesan menerusi saringan harian yang dibuat perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan berdekatan untuk tindakan lanjut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusoff berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal pematuhan SOP dengan tindakan tegas termasuk menutup tapak pembinaan serta menarik semula kebenaran beroperasi akan dikenakan terhadap kontraktor yang gagal mematuhi SOP sehingga membawa kepada penularan Covid-19.

Malah tindakan tegas telahpun diambil terhadap sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang dalam kejadian 30 April 2020 iaitu baru-baru ini.

Dalam kejadian itu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menerima maklumat daripada
Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur bahawa terdapat 28 pekerja tapak pembinaan warga Bangladesh didapati positif Covid-19 di tapak berkenaan.

CIDB telah mengaturkan operasi pemeriksaan ke rumah kongsi di tapak pembinaan terbabit pada 1 Mei 2020, bersama Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Semasa lawatan itu Jabatan Kesihatan telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja dan menutup tapak pembinaan berkenaan selaras dengan Akta 342.

”Kawasan berkenaan telah ditutup serta merta dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan di pintu masuk tapak pembinaan terbabit bagi mengawal pergerakan seperti diperuntukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ( Akta 342).

Siasatan CIDB juga mendapati tapak pembinaan di Jalan Ampang itu belum memulakan operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Hanya beberapa pekerja telah ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak berkenaan. Kes terbabit melibatkan penghuni rumah kongsi yang disediakan di situ,” katanya.

Fadillah berkata, seramai 489 pekerja telah disaring ujian Covid-19, setelah Jabatan Kesihatan menerima laporan mengenai seorang penghuni rumah kongsi tersebut yang telah hadir mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Daripada jumlah yang disaring 28 pekerja yang tinggal di rumah kongsi itu disahkan positif.

Sejak sektor pembinaan dibenarkan beroperasi pada fasa ketiga PKP, CIDB telah menjalankan pemantauan harian untuk projek-projek pembinaan di seluruh negara, ujar beliau.

Di Kuala Lumpur sahaja, CIDB menjalankan pemantauan sekurang-kurangnya di 80 tapak pembinaan setiap hari termasuk cuti umum dan hujung minggu. – MalaysiaGazette