Gambar hiasan. Foto Reuters

NEW YORK – Harga minyak naik selepas beberapa negara Eropah dan Asia bersama-sama negeri di Amerika Syarikat (AS) melonggarkan sekatan perjalanan.

Kenaikan itu melanjutkan keuntungan Brent hingga enam hari berturut-turut, sementara penanda aras minyak AS. West Texas Intermediate kini telah mengumpul lima sesi berturut-turut.

Permintaan bahan bakar di seluruh dunia turun kira-kira 30% pada bulan April, tetapi permintaan meningkat dengan sederhana selepas sekatan perjalanan ditarik semula.

Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent meningkat sebanyak AS$ 3.77 atau 13.9% kepada AS$ 30.97 setong manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) menokok sebanyak AS$ 4.17 atau 20.5%, untuk ditutup kepada AS$ 24.56 setong.

Harga terus melonjak selepas waktu dagangan walaupun data industri menunjukkan peningkatan mingguan yang lebih besar daripada yang diramalkan dalam inventori minyak mentah AS kerana laporan turut menunjukkan kejatuhan besarnya dalam stok petrol.

Inventori minyak mentah AS meningkat 8.4 juta tong minggu lalu, menurut data America Petroleum Institute (API).

Para penganalisis meramalkan peningkatan sebanyak 7.8 juta tong menjelang laporan kerajaan pada hari Rabu.

API juga melaporkan stok petrol turun 2.2 juta tong, berbanding dengan jangkaan penganalisis yang mengunjurkan kenaikan 43,000 tong, yang menandakan permintaan semakin pulih. – MalaysiaGazette