Orang tengah telah menawarkan 'pakej diskaun' kepada majikan yang mahu melanjutkan permit pekerja asing terlatih, tetapi cuba mengelak bayaran levi sebanyak RM10,000 seorang setiap tahun. - foto hiasan
Sistem Biometrik Pemeriksaan Saringan Kesihatan Pekerja Asing bagi menangani masalah pemalsuan identiti.

KUALA LUMPUR – Isu kebanjiran warga asing di negara ini termasuk mereka yang berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) antaranya berpunca dari sikap tamak haloba para majikan yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan kos buruh yang murah.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) merangkap Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping, Veeran Muniandy justeru menyarankan kepada kerajaan supaya mengenakan hukuman maksimum terhadap majikan yang didapati bersalah menggaji pendatang haram.

Veeran Muniandy

Kata Veeran, ada baiknya pihak berwajib mengkaji semula untuk membuat pindaan kepada Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) bagi mengenakan hukuman penjara mandatori serta denda lebih tinggi kepada golongan majikan degil ini.

“Kesalahan majikan adalah melindungi pendatang haram dengan kebanyakan mereka menggajikan orang yang tidak ada dokumen dan pas perjalanan yang sah serta pekerja asing yang sudah tamat tempoh menetap.

“Ada juga majikan menggajikan pendatang yang menyalahgunakan pas, misalnya mereka sepatutnya bekerja dalam industri peladangan tetapi didapati berada dalam industri pembinaan.

“Kami dengar juga majikan yang memancing pekerja asing daripada industri lain. Majikan itu dengan senang mendapat pekerja asing tanpa dokumen sah, menyebabkan majikan lain hilang pekerja mereka.

“Tiba masanya untuk pinda akta sedia ada, kenakan hukuman penjara mandatori serta denda jauh lebih tinggi, biarlah mereka gerun sedikit, jangan kita kompromi perkara sebegini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Veeran, kehadiran PATI yg ramai di negara kerana wujudnya kelonggaran serta kelemahan dalam undang-undang yang sedia ada sebenarnya.

“Selain daripada itu, penguatkuasaan kurang berkesan serta yang utamanya adalah sikap majikan dan pemilik bangunan yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Jika kita dapat membetulkan perkara ini, hakikatnya kita dapat menyelamatkan dan membersihkan negara kita daripada terus terjerumus dengan kehadiran jutaan PATI di negara ini.

“Sebenarnya penularan Covid-19 ini juga ada hikmahnya, kita dapat mengenalpasti pelbagai isu yang selama ini menghantui negara serta impaknya kepada rakyat kita sendiri.

“Ada baiknya untuk kita segera mengkaji dan memperbetulkan daripada hanya asyik bercakap tentangnya tanpa sebarang penyelesaian,” tegasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kerajaan wajib bertindak tegas mulai sekarang,
    semuanya untuk kepentingan rakyat dan negara juga,
    sudah tiba masanya kerajaan siasat apa punca pendatang haram semakin berani masuk ke dalam negara,bekerja dan berniaga,
    tidak kira lah pendatang haram ke pelarian ke,tolong kurangkan bilangan mereka,
    tolong saring sekali semua penguatkuasa2 yg berkaitan,
    mungkin pendatang haram semakin berani berpunca daripada penguatkuasa,
    bilangan mereka semakin merisaukan rakyat!!!

Comments are closed.