Warga asing yang telah diperiksa kesihatan dan dokumentasi oleh pelbagai agensi penguatkuasaan dan kesihatan diarah meninggalkan kawasan Jalan Masjid India berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 4 susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 01 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada individu termasuk pekerja asing yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melarikan diri selepas menjalani ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya SOP sekarang masih belum mencukupi, kerajaan sedia memperketatkannya.

“Kita akan tengok SOP sedia ada. Sekiranya masih belum ketat, kita akan perketatkannya.

“Seperti sebelum ini, pihak polis akan menjejaki dan menahan warga asing berkenaan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah portal yang mengatakan terdapat pekerja asing melarikan diri selepas menjalani ujian saringan Covid-19.

Sekumpulan pekerja asing itu menjalani ujian saringan selepas mereka yang menjadi kontak kepada pekerja dijangkiti Covid-19 di tapak pembinaan Pavilion Embassy di ibu negara.

Ketika ditanya mengenai kegusaran orang ramai yang menyaksikan peningkatan zon merah, Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan tersebut.

Jelasnya, berbeza dengan PKP sebelum ini, kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan mengenakan PKP administratif bagi kawasan-kawasan zon merah sahaja manakala kawasan lain tidak akan terlibat.

Bagaimanapun, jika kes-kes positif Covid-19 masih meningkat di kawasan yang telah dikenakan PKP administratif, kerajaan akan meningkatkan kawalan kepada PKPD pula.- MalaysiaGazette